Jin BTS selesai jalani latihan tentera
ANGGOTA paling tua BTS, Jin telah selesai menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib selama 18 bulan di Korea Selatan pada Rabu.
Peminat di seluruh dunia tidak sabar menanti kepulangan bintang K-pop itu ke dunia muzik, lapor Agensi Berita Yonhap.
Penyanyi itu keluar dari kawasan Divisyen Infantri Tentera Darat Ke-5 di Yeoncheon, 61 kilometer utara Seoul kira-kira jam 9 pagi dan disambut oleh anggota kumpulannya.
Sepanjang perkhidmatannya, Jin bertugas sebagai pembantu jurulatih di pusat latihan rekrut Tentera Darat.
Selepas memberi tabik hormat di hadapan pintu utama, Jin menerima sejambak bunga dan dirakam tersenyum lebar ketika bertemu semula dengan lima anggota kumpulannya -- J-Hope, RM, Jimin, V dan Jungkook.
RM meraikan pelepasan Jin dengan persembahan saksofon daripada lagu hit BTS 'Dynamite.'
Anggota BTS yang semuanya sedang menjalani latihan ketenteraan dilaporkan mengambil cuti untuk berkumpul di Seoul bagi sambutan secara tertutup. Bagaimanapun, Suga tidak hadir.
Jin melambai kepada media yang berkumpul dan berkata, "Hai, ARMY!" merujuk kepada peminat global BTS. Dia kemudian beredar dengan minivan hitam.
Peminat tidak hadir kerana agensi kumpulan itu, BigHit Music telah meminta mereka untuk tidak mengunjungi tempat kejadian bagi mengelakkan masalah kesesakan.
Sepanduk dan belon besar dengan mesej daripada peminat kelihatan berhampiran jalan menuju ke kawasan kem tentera.
Bintang BTS itu dijadualkan untuk memberi pelukan kepada peminat yang memenangi acara cabutan bertuah di BTS FESTA tahun ini di Kompleks Sukan Seoul pada Khamis.
Dengan pelepasannya, Jin menjadi yang pertama daripada tujuh anggota BTS yang menamatkan perkhidmatan ketenteraan mereka.
Selepas Jin, J-Hope dijangka dilepaskan dari tugas ketenteraan pada Oktober. - Bernama-Yonhap
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!