Bukti jenayah Israel di Gaza, Tebing Barat
GENEVA - Siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Rabu menyimpulkan Israel telah melakukan jenayah kemanusiaan termasuk 'penghapusan' ketika melancarkan perang ganas ke atas Genting Gaza.
Laporan Suruhanjaya Siasatan Bebas itu adalah kajian mendalam pertama mengenai konflik Hamas-rejim Zionis yang tercetus sejak 7 Oktober lalu.
Ia mendapati Israel telah melakukan jenayah perang, jenayah kemanusiaan dan melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa (IHL) serta undang-undang hak asasi manusia antarabangsa (IHRL).
Laporan itu juga mendapati serangan meluas atau sistematik yang jelas menyasarkan orang awam di Gaza.
“Terdapat bukti berlaku pembunuhan, penganiayaan jantina menyasarkan lelaki dan kanak-kanak Palestin, pemindahan secara paksa, penyeksaan, layanan tidak berperikemanusiaan dan sengaja menyebabkan penduduk Gaza kelaparan,” jelas laporan tersebut.
“Adalah penting untuk memastikan pihak melakukan jenayah diheret ke muka pengadilan. Israel perlu hentikan segera operasi ketenteraan dan serangan ke atas Gaza.
“Pejuang Hamas dan sekutu mereka juga perlu menghentikan pelancaran roket dan membebaskan baki tawanan,” tegas Pengerusi suruhanjaya itu, Navi Pillay yang juga bekas hakim Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Suruhanjaya itu juga mendapati rejim Zionis melakukan keganasan seksual dan penganiayaan melampau yang kesemuanya tersenarai sebagai jenayah perang di Tebing Barat.
“Pemimpin dan tentera Israel membenarkan serta menghasut kempen keganasan yang dilakukan pelampau Yahudi ke atas komuniti Palestin,” menurut laporan itu lagi.
Difahamkan, laporan itu berdasarkan temu bual jarak jauh bersama mangsa dan saksi di Turkiye serta Mesir selain mengkaji ribuan sumber yang disahkan, imej satelit serta laporan perubatan forensik.
Hal ini kerana, Israel didakwa menghalang siasatan suruhanjaya berkenaan malah menyekat akses mereka ke Tel Aviv dan wilayah Palestin yang diduduki.
Rejim Tel Aviv bagaimanapun menolak laporan akhir tersebut dan menuduh suruhanjaya bebas itu kononnya sengaja melakukan diskriminasi anti-Israel sistematik.
Laporan itu dijadualkan akan dikemukakan kepada OHCHR pada minggu depan. - AFP
Info:
>Suruhanjaya Siasatan itu ditubuhkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) pada Mei 2021 untuk menyiasat pelanggaran IHL dan IHRL di Israel dan wilayah Palestin.
>Sejak 7 Oktober lalu, tiga anggota badan itu telah memfokuskan siasatan terhadap Perang Gaza.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!