Singapura terbuka kepada idea baharu, termasuk HSR pada sesi permukiman
PUTRAJAYA - Singapura terbuka kepada idea-idea baharu, termasuk membabitkan cadangan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan kedua-dua negara dalam sesi Permukiman Pemimpin Malaysia-Singapura kali ke-11 akhir tahun ini, kata Perdana Menteri republik itu, Lawrence Wong.
Beliau berkata, Singapura akan mengambil kira perkembangan mengenai perbincangan berkaitan yang sedang dilaksanakan oleh kedua-dua negara.
"Sudah pasti, sepanjang perbincangan itu akan ada idea-idea baharu yang timbul dan kita terbuka untuk mendengar pandangan Malaysia jika ada cadangan berkaitan HSR.
"Apa juga idea baharu itu, kita akan berfikiran terbuka dan membincangkannya atas semangat untuk mengukuhkan lagi perhubungan,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media bersama dengan Perdana Menteri Datuk, Seri Anwar Ibrahim di sini, pada Rabu.
Lawrence berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada HSR turut menjadi antara tumpuan perbincangan dua negara berkenaan dalam sesi permukiman berkenaan.
Malaysia akan menjadi tuan rumah sesi Permukiman Tahunan kali ini yang menjadi platform utama bagi kedua-dua perdana menteri membincangkan isu-isu hubungan dua hala selain meneroka bidang kerjasama baharu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!