Dua saksi beri keterangan prosiding pembangunan hartanah LADA

Mas Ermieyati Foto fail Bernama
Mas Ermieyati Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah mengadakan lawatan kerja dan prosiding tindakan berhubung pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

Pengerusinya Datuk Mas Ermieyati Samsudin dalam satu kenyataan berkata, dua saksi telah memberi keterangan dan penjelasan dalam prosiding yang diadakan selama tiga jam bermula 10 pagi di Langkawi.

Beliau berkata, mereka yang memberi keterangan dan penjelasan ialah Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Kementerian Kewangan (MoF), Datuk Dr Shahrazat Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Datuk Haslina Abdul Hamid

"Prosiding Tindakan Susulan terhadap lima syor laporan PAC berhubung isu berkenaan sudah selesai. MoF dan LADA juga telah memberikan keterangan serta penjelasan yang terperinci.

"Sempena prosiding berkenaan, LADA telah mengatur satu lawatan kerja bagi membolehkan jawatankuasa ini meninjau dan melihat sendiri tindakan susulan yang telah diambil agensi berkenaan terhadap syor-syor terkandung dalam Laporan PAC," katanya.

Tambah Mas Ermieyati, PAC juga dibawa melawat produk-produk pelancongan baharu selain dimaklumkan perancangan masa depan LADA untuk memperhebatkan promosi Langkawi termasuk menyediakan kemudahan-kemudahan awam yang baharu.

"Kami mengambil maklum usaha positif LADA dan MoF bagi memastikan Langkawi terus menjadi destinasi geo-pelancongan utama sekali gus menjadi tumpuan pelancong dunia," ujarnya.

Mengulas mengenai isu hartanah Hotel St. Regis dan Kampung Tok Senik, Mas Ermieyati memberitahu, PAC mengambil maklum setiap penjelasan dan keterangan yang diberikan saksi terhadap kedua-dua isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"PAC akan memberikan ulasan pada setiap maklum balas MoF dan LADA terhadap lima syor berkenaan termasuk dengan isu Hotel St. Regis serta Kampung Tok Senik.

"Laporan Tindakan Susulan ini dijangka dibentangkan di Parlimen pada pada 27 Jun 2024 dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat yang akan bersidang bermula 24 Jun 2024.

"Dalam Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat ini, PAC dijangka membentangkan lagi tujuh laporan membabitkan tiga PAC serta empat Laporan Tindakan Susulan termasuk Laporan Tindakan Susulan LADA," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!