Kerajaan fokus kepada penyasaran subsidi diesel - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR - Kerajaan mahu memberi fokus kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel terlebih dahulu sebelum merasionalisasikan subsidi melibatkan RON95, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
"Kita fokus kepada (penyasaran) subsidi diesel dahulu dan bila sudah stabil, kita boleh tengok apa lagi yang kita kena buat,” katanya ketika ditanya mengenai tempoh pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilakukan.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Simposium Sasana Bank Negara Malaysia di sini, pada Rabu.
Pada Ahad, Amir Hamzah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam.
Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata, ia adalah harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.
Penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar, ia dapat memberikan penjimatan sebanyak RM4 bilion setahun di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!