241 notis pelbagai kesalahan dalam tempoh dua jam
KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri Kelantan mengeluarkan 241 notis termasuk sita dan saman dalam tempoh dua jam melalui penguatkuasaan Ops Lejang di Pengkalan Chepa pada petang Selasa.
Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, operasi bermula jam 6.30 petang itu mengesan pelbagai jenis kesalahan jalan raya termasuk memandu bawah umur, tiada insurans dan tiada lesen memandu.
Menurutnya, intipan dan risikan dilakukan selama dua hari itu mendapati terdapat aktiviti perlumbaan haram dan menguji kelajuan di kawasan berkenaan.
"Jumlah ini antara yang tertinggi dalam operasi dan kita mengambil serius mengenai penggunaan motosikal yang menyalahi undang-undang jalan raya," katanya ketika sidang akhbar Ops Lejang (Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa) pada Rabu.
Mohd Misuari berkata, risikan turut mengesan pelumba haram di kawasan terbabit melakukan aksi berbahaya seperti 'wheely', meniarap di atas motosikal dan memasukkan 'gear' dengan tangan yang boleh mengakibatkan kemalangan terhadap pengguna lain.
Tambah beliau, melalui aduan beberapa pihak termasuk orang awam dan pengguna Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA), lumba haram disertai ramai remaja bawah umur.
Pemeriksaan turut mendapati 42 kesalahan teknikal antaranya membabitkan tujuh kes brek, masing masing dua kes bagi meter kelajuan, lampu berhenti dan tayar, kesalahan nombor pendaftaran pula ialah 12 manakala cermin sisi ialah 10 kes.
Jelasnya lagi, operasi itu dilaksanakan susulan kemalangan tiga motosikal yang mengakibatkan seorang maut di Lebuhraya Jalan Jerus-Kok Lanas, Lingkaran Tengah Utama (CSR) yang tergendala dalam pembinaan.
Beliau berkata, kesemua mereka yang menerima notis akan disiasat di bawah Seksyen 39 Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987 dan Seksyen 81 APJ 1987.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!