Pucuk pimpinan parti pilih calon terbaik PRK Sungai Bakap - Ahmad Samsuri

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan diumumkan pada Sabtu depan merupakan calon terbaik dipilih pucuk pimpinan parti.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, calon tersebut telah melepasi semua syarat dan kriteria ditetapkan oleh pimpinan parti sama seperti calon-calon yang dipilih dalam PRK lain sebelum ini.

Menurutnya, calon berkenaan juga mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

"Insya-ALLAH kita ada peluang untuk menang dan kita doakan agar peratus yang keluar mengundi itu tinggi

"Kita akan umumkan calon PRK DUN Sungai Bakap itu pada hari Sabtu nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu, Ahmad Samsuri memilih untuk berteka-teki ketika ditanya mengenai latar belakang calon terbabit dan meminta semua pihak menunggu pengumuman calon yang akan dibuat pada hari berkenaan.

"Kalau saya bagi petunjuk, dah tak ada kejutan la untuk hari Sabtu nanti," ujarnya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap pada 6 Julai depan.

Artikel Berkaitan:

Kerusi DUN tersebut kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lalu.

Allahyarham Nor Zamri ketika itu menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!