Proses tahanan OYDS tidak lebih 24 jam, patuhi SOP - AADK
SHAH ALAM - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan menegaskan proses penahanan orang yang disyaki (OYDS) menagih dadah dalam satu operasi pada Selasa tidak melebihi tempoh 24 jam.
Unit Media dan Komunikasi Korporat AADK dalam kenyataan berkata, tindakan tersebut masih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam Akta Penagihan Dadah (APD) (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Kenyataan itu susulan tular satu hantaran di platform X yang mendakwa tindakan penahanan OYDS itu melanggar SOP penahanan di bawah Seksyen 3 APD 1983.
Menurut kenyataan tersebut, pihak AADK bagaimanapun, mengakui tindakan dokumentasi OYDS mengambil masa tertentu disebabkan jumlah bilangan tangkapan dibuat pada kadar yang ramai.
“Pada 11 Jun 2024 jam lebih kurang 6 petang, satu Operasi Pengesanan Perdana dilaksanakan AADK Daerah Cheras atas maklumat penagihan dan aktiviti penagihan penyalahgunaan dadah di Jalan Jejaka 4, Taman Maluri, Kuala Lumpur.
“Dalam tindakan pengesanan OYDS di kawasan itu, AADK Daerah Cheras telah menahan seorang individu yang diklasifikasikan sebagai OYDS dengan SOP yang betul iaitu memperkenalkan diri dan menunjukkan kad kuasa AADK.
“Pun begitu, ketika penahanan OYDS itu dilakukan, terdapat seseorang yang berada di lokasi yang sama dalam keadaaan yang mencurigakan dan apabila pegawai AADK cuba mendekati individu tersebut dan memperkenalkan diri sebagai pegawai AADK, dia bagaimanapun bertindak melarikan diri,” kata kenyataan tersebut pada Rabu.
Pada Selasa, sebuah hantaran pemilik akaun platform X, @syaidailmuna tular yang mendakwa tidak puas hati terhadap cara kendalian tangkapan AADK terhadap OYDS menagih dadah yang juga merupakan ahli keluarganya dalam satu Operasi Pengesanan Perdana AADK Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, ujar kenyataan berkenaan, tindakan melarikan diri itu menimbulkan kecurigaan yang munasabah sehingga membawa kepada penangkapan individu tersebut.
“Selepas kedua-dua ditahan, pegawai AADK telah mempamerkan sekali lagi kad kuasa dan ketika semakan dalam sistem MyAADK dibuat, seorang daripada individu tersebut telah menolak seorang pegawai AADK bagi cubaan melarikan diri buat kali kedua.
“Tindakan itu membawa kepada penahanannya dan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Cheras untuk tindakan dokumentasi dan ujian-ujian tertentu bagi mengenalpasti sama ada penagih ataupun tidak.
“Selepas urusan dokumentasi dan keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati seorang daripadanya negatif, individu itu dibebaskan,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!