Malaysia-Singapura bincang bawa guru dari Singapura ajar bahasa Inggeris
PUTRAJAYA - Malaysia telah berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara republik itu menghantar guru-guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat dalam negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, perkara itu disentuh beliau dalam pertemuan empat mata dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di Seri Perdana di sini, pada Rabu.
"Kami memang ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini.
"Biarlah siswazah muda membuat pilihan sendiri (mata pelajaran mana yang hendak diajar) jika boleh,” katanya pada sidang media bersama dengan Lawrence.
Anwar berkata, beliau gembira apabila Perdana Menteri Singapura itu menyatakan kesediaan untuk menimbangkan permintaannya itu bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di negara ini.
"Perkara ini bukan sesuatu yang kami rangka terlebih dahulu menerusi pegawai-pegawai terlibat. Cuma, kita cuba buktikan bahawa adakalanya perdana menteri boleh buat keputusan tertentu sebelum memaklumkan kepada menteri berkaitan,” katanya.
Terdahulu Anwar dan Lawrence mengadakan mesyuarat sempena lawatan sulung perdana menteri republik itu sejak mengangkat sumpah untuk jawatan berkenaan pada 15 Mei.
Lawatan Lawrence menekankan komitmen bersama Malaysia dan Singapura dalam mengukuhkan hubungan yang lama terjalin, dan sebagai persediaan bagi sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin yang akan dianjurkan oleh Malaysia hujung tahun ini.
Pada 2023 Malaysia dan Singapura masing-masing rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (AS$ 79.60 bilion). - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!