'Marah dekat abah ke?'

Tangkap layar video yang dimuat naik Muhammad Ammar Wajdi di TikTok.
Tangkap layar video yang dimuat naik Muhammad Ammar Wajdi di TikTok.
A
A
A

SHAH ALAM - "Marah dekat abah ke? Telefon tidak jawab. Ammar anak adik abah yang abah paling sayang."

Demikian kata-kata seorang lelaki kepada anak saudara yang dianggap seperti anak kandung sendiri, Muhammad Ammar Wajdi Hasrolnizam sebelum menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8 malam pada 5 Jun lalu.

Menurut Muhammad Ammar Wajdi, 19, dia tidak menyangka kepulangannya selama seminggu ke rumah bapa saudara, Jamal Abdul Nasir Zubir, 62, yang digelar sebagai abah itu merupakan detik terakhir mereka bertemu.

Dia yang juga seorang pelajar berkata, bapa saudaranya itu menunjukkan beberapa tingkah laku berbeza apabila kerap memanggil dan meminta pertolongannya tanpa mengira waktu.

"27 Mei lalu saya bawa motor lebih 100 kilometer (KM) dari Padang Serai ke Jitra di Kedah untuk menemui abah dan apabila sampai dalam jam 11 malam, saya terus masuk bilik duduk sebelah abah sambil bersembang.

"Seminggu saya balik teman, jaga abah waktu sakit, macam-macam perangai abah tunjuk. Sikit-sikit panggil minta air sejuk, garu badan dan sebagainya. Sampai jam 3 hingga 4 pagi abah masih panggil, jadi saya tidak dapat tidur.

"Keesokan harinya abah minta beli roti canai dan ubat gout. Disebabkan kedai roti canai berdekatan sahaja, saya pergi beli dahulu dan hantar ke rumah tetapi kemudian ada beberapa urusan penting di pejabat saudara saya," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Muhammad Ammar Wajdi, dia membuat keputusan membantu saudaranya di pejabat terlebih dahulu memandangkan farmasi masih lagi tidak buka pada waktu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, bapa saudara kemudian menelefon beberapa kali meminta dia pulang dan membelikan ubat seperti yang diminta.

"Selepas farmasi buka, saya terus beli ubat kemudian hantar ke rumah dan pergi semula ke pejabat. Saya tidak pulang sehingga petang, sebab ini abah tulis mesej tersebut.

"Selepas pulang ke rumah, saya jenguk abah di bilik dan dia panggil bertanya jika saya marah kepadanya. Saya kemudian minta maaf sebab tinggal begitu sahaja dan peluk sambil menangis.

"2 Jun hari terakhir saya jumpa arwah sebelum pulang ke Jitra. Saya perhati abah berselera makan laksa. Abah sempat hulur duit untuk isi minyak, siapa sangka, ini saat terakhir saya jumpa abah sebelum abah tinggalkan saya selama-lamanya," katanya lagi.

Muhammad Ammar Wajdi berkata, tempoh seminggu tersebut menjadi kenangan yang tidak akan dilupakan olehnya dan sentiasa diingati.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!