Keracunan makanan: Sampel darah kanak-kanak perempuan sedang dianalisis

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Sampel darah kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang maut disyaki keracunan makanan kini sedang dianalisis.

Jabatan Kimia Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Bahagian Toksikologi, Pusat Analisis Sains Forensik telah menerima satu sampel darah mangsa daripada pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia pada Rabu.

"Ahli Kimia di Bahagian Toksikologi sedang menjalankan analisis ke atas sampel darah yang diterima dan analisis akan disiapkan dengan kadar segera.

"Pegawai penyiasat akan dimaklumkan sebaik sahaja analisis selesai dijalankan," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan pada program sekolah terbabit.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes pertama melibatkan remaja lelaki tempatan berusia 17 tahun telah memakan makanan yang dibawa balik oleh ibunya selepas menghadiri program di sekolah berkenaan pada Sabtu.

Mangsa kemudian dilapor mengalami cirit-birit dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 1.30 petang, pada Isnin, sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur.

Kes kedua, bapa kepada kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan telah membawa balik makanan selepas selesai program sekolah pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak itu kemudian demam, muntah dan cirit birit pada Isnin, sebelum dibawa ibunya ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Tambah kenyataan itu, Jabatan Kimia Malaysia sentiasa komited dalam memastikan keperluan rakyat sentiasa didahului.

"Ia seiring dengan kemajuan sains dan teknologi yang sedia ada," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!