Usia pencen dinaikkan secara berkala, setuju atau tidak?
HAD usia persaraan di Malaysia wajar dinaikkan secara berkala sehingga mencecah umur sekurang-kurangnya 65 tahun, selari dengan definisi warga emas di bawah takrifan antarabangsa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia memerlukan reformasi sistem persaraan kerana negara ini sedang menuju ke proses penuaan yang mendadak.
Terdapat negara-negara maju lain yang sudah meningkatkan had usia persaraan sehingga lebih 60 tahun seperti Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan banyak lagi.
Namun cadangan tersebut menerima respons yang pelbagai daripada orang ramai, khususnya pengguna media sosial.
Ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan namun masing-masing mempunyai hujah tersendiri berhubung isu tersebut.
SETUJU
FAKTOR USIA TIDAK JEJAS KUALITI KERJA
Saya setuju jika kerajaan meningkatkan had usia persaraan sehingga mencecah umur 65 tahun dan ke atas.
Persaingan antara mereka yang sudah berpengalaman sehingga 30 tahun tidak akan menjejaskan peluang pekerjaan graduan kerana yang diminta bersara itu berada di gred lebih tinggi dengan laluan kerja lebih baik.
Ini kerana ada yang mengatakan sekiranya had usia dilanjutkan, lepasan ijazah sukar mendapat pekerjaan dalam bidang diceburi.
Justeru, satu kajian perlu dilaksanakan supaya Malaysia juga mengikut jejak langkah negara-negara maju yang sudah menaikkan had usia persaraan.
Inisiatif tersebut secara tidak langsung mempercepatkan Malaysia menjadi negara maju, sekali gus memastikan mobiliti pegawai itu tidak hilang terutama pengalaman masing-masing.
Banyak negara lain yang sudah meningkatkan usia bersara seperti Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat sehingga lebih 60 tahun, jadi bagi saya memang tiada masalah sekiranya Malaysia juga mengikuti jejak langkah mereka.
Selain itu, tenaga pakar masih mempunyai kepentingan di negara ini walaupun sudah beralih kepada bidang teknologi.
Sekiranya Malaysia menghentikan penggunaan tenaga pakar, sudah pasti mereka diambil oleh pihak lain yang mahu memajukan negara masing-masing.
Ini kerana penggunaan alatan seperti sistem atau teknologi itu masih diuruskan oleh manusia.
- Presiden Persatuan Pesara Kerajaan dan Swasta, Datuk Azih Muda
TIDAK SETUJU
KESIHATAN PEKERJA BERUSIA 50 TAHUN DAN KE ATAS MEMBIMBANGKAN
Saya tidak setuju dengan cadangan meningkatkan had usia persaraan atas beberapa faktor iaitu dari segi kesihatan, persaingan dan pembayaran kadar pencen kepada pekerja yang sudah mencecah usia 60 tahun.
Faktor pertama yang ingin diulas adalah mengenai kesihatan pekerja yang sudah mencapai usia 50 tahun dan ke atas yang mana mereka memerlukan konsultasi doktor untuk melaksanakan tugasan masing-masing.
Pada pandangan saya, sudah pasti ada sebahagiannya, terutamanya mereka yang berusia lebih 60 tahun cenderung menghidap penyakit kronik seperti jantung, buah pinggang dan sebagainya.
Daya tahanan mereka juga tidak sekuat seperti mereka mula-mula menceburkan diri dalam bidang pekerjaan.
Perkara tersebut sekali gus menyebabkan pihak syarikat terpaksa menanggung kos perubatan kerana mereka itu memerlukan rawatan secara bulanan.
Selain itu, Malaysia sedang berkembang pesat dalam dunia teknologi dan perkara ini akan menyebabkan berlakunya antara pekerja berusia dengan lepasan graduan.
Mereka yang bekerja menggunakan pemikiran mungkin boleh berkhidmat sehingga usia mencecah 70 tahun tetapi sekiranya menggunakan fizikal, jelas sekali golongan tersebut tidak mampu.
Pekerjaan yang menggunakan fizikal seperti buruh perlu memerlukan kekuatan badan, namun pekerja berusia tidak mampu bertahan sekiranya mereka sakit.
- Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!