Cakna kesihatan mental keluarga elak kejadian tidak diingini
ORANG-ORANG tua dahulu sering berpesan kepada anak-anak supaya tidak mengikut atau menaiki kereta individu tidak dikenali ketika pulang dari sekolah atau berada di luar kerana bimbang kes jenayah yang tak terduga.
Pelbagai risiko jenayah boleh terjadi membabitkan orang tidak dikenali seperti penculikan, jenayah seksual, samun atau lebih teruk pembunuhan.
Bagaimanapun, nampaknya langkah berhati-hati itu kini tidak lagi terbatas kepada orang tidak dikenali sahaja kerana banyak kes jenayah termasuk pembunuhan kejam dilakukan oleh mereka yang berada di sekeliling mangsa sahaja.
Seperti kes terhaharu yang berlaku di Perak, seorang wanita maut dipercayai ditikam suaminya dalam kejadian di Laluan Simee 11, Kampung Simee pada Rabu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, maklumat diterima daripada orang awam jam 9.26 pagi selepas mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.
Katanya, mangsa berusia 48 tahun ditemui terbaring di kawasan garaj rumah dengan tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.
Motif kejadian masih dalam siasatan namun berdasarkan keterangan saksi yang juga anaknya, mangsa dan suspek berusia 56 tahun kerap bergaduh.
Mungkin kejadian jenayah melibatkan keluarga sendiri disebabkan masalah kesihatan mental pelakunya sama ada disedari atau tidak disedari selain pengaruh dadah yang serius.
Kesihatan mental sama penting dengan fizikal kerana ia membabitkan aspek kesejahteraan tingkah laku, emosi dan spiritual dalam diri setiap individu.
Ia memberi kesan kepada kesejahteraan hidup dan hubungan seseorang dengan orang lain.
Mental yang terjejas terutamanya dengan masalah peribadi mengakibatkan tekanan perasaan, keletihan dan kemurungan sekali gus membabitkan tingkah laku di luar kawalan.
Kehadiran pesakit mental di dalam keluarga boleh diibaratkan seperti bom jangka yang boleh meletus pada bila-bila masa jika tidak ditangani dengan betul.
Jika mereka tidak dirawat, keluarga terbabit boleh berdepan risiko bahaya termasuk 'serangan-serangan' tidak terduga.
Seharusnya masalah ini diberi perhatian serius oleh setiap keluarga termasuk pihak berkuasa sendiri supaya kes-kes jenayah melibatkan ahli keluarga sendiri dapat dikekang daripada terus berlaku.
Benar, masalah ini agak sensitif lebih-lebih lagi melibatkan ahli keluarga, namun jika dibiarkan berterusan bimbang akan berlaku lagi kes yang tidak diingini termasuk kehilangan nyawa insan yang disayangi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!