Tafakur Alam: Refleksi iman di Laman Kak Engku Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Pada penciptaan langit dan bumi, perubahan siang dan malam adalah petanda kebesaran ALLAH SWT.
Ini memberi makna yang mendalam bagi orang yang berakal atau disebut ulul albab. Namun, apakah signifikan kaitan alam dan ulul albab?
Itu yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Fazrul Ismail sebagai pentadabbur pada program Tafakur Alam: Refleksi Alam, Refleksi Iman berpandukan Surah Ali ‘Imran ayat 190 hingga 200 mengenai ciri-ciri ulul albab.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal yang dianjurkan bersama WUIF dan Laman Kak Engku @ Royal Berry Strawberry Farm, Cafe & Restaurant di Kea Farm, Brinchang, di sini telah diadakan pada 30 Mei lalu.
Program Tafakur Alam yang dihadiri peserta daripada Rumah Ngaji Pahang, Rumah Ngaji Negeri Sembilan, Rumah Ngaji Perak, WUIF dan staf Laman Kak Engku berpeluang untuk menghayati ayat-ayat al-Quran, khususnya Surah Ali ‘Imran yang menekankan sifat ulul albab dalam suasana nyaman kebun strawberi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff manakala sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh Ketua Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) WUIF, Ustaz Safri Muhammad Zein.
Menurut Fazrul, ulul albab ialah orang yang ada lubb atau hati nurani yang bukan sekadar melihat suatu secara luaran, tetapi mampu menembusi ruang dan masa sehingga ia mengingatkan kepada Tuhan Maha Pencipta.
Tambahnya, apabila kita berfikir dan mengkaji, terdapat tiga sumber iaitu sumber atas (wahyu/al-Quran), sumber belakang (sejarah) dan sumber depan (ilmu sains dan semasa) untuk kita mengingati ALLAH SWT.
“Mulakan dengan mengingati ALLAH SWT, diikuti dengan berfikir secara berstruktur dan mendalam. Ia bukan cara berfikir biasa-biasa.
“Ketika melihat alam dan kejadian ALLAH, kita berdoa, “Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami daripada azab neraka” (Surah Ali ‘Imran ayat 191).
“Surah Ali ‘Imran menjadi panduan untuk berpegang kepada prinsip atau alhaq (kebenaran). Di penghujung surah tersebut, ayat 200 menjadi penguat semangat untuk kita bersabar, teguh dengan kehidupan dan bertakwa kepada ALLAH SWT. Antara kaedahnya, kita melihat penciptaan langit dan bumi yang bukan sia-sia boleh menyebabkan kita sentiasa memuji ALLAH SWT,” jelasnya.
Ujarnya, dalam memuji ALLAH SWT, kita mensyukuri segala nikmat yang diterima dengan menyebut alhamdulillah. Semoga kita dimasukkan dalam golongan yang diberi nikmat dan bukan orang yang dimurkai dan sesat, sebagaimana disebut dalam Surah Al-Fatihah ayat 6 dan 7.
Sementara itu, Tengku Faridah Tengku Hussin atau lebih dikenali sebagai Kak Engku berkata, beliau yang mencintai al-Quran berasa teruja untuk bersama WUIF dalam menjayakan program Tafakur Alam itu.
“Kami menyambut baik kerjasama dengan WUIF untuk menganjurkan Tafakur Alam. Ia merupakan hadiah daripada ALLAH SWT selepas kami melalui ujian besar. Saya dan suami diuji apabila kafe kami hendak dirobohkan sehari sebelum hari raya tahun ini bagi memberi laluan projek pembesaran jalan.
“Kami sebagai pemegang amanah di tempat ini, berjihad kerana ALLAH SWT. Saya banyakkan berdoa kepada ALLAH SWT semoga mempertahankan tanah ini untuk syiar agama. Tiada sesiapa pun boleh tolong melainkan ALLAH SWT. Projek tersebut sehingga sekarang ini senyap,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!