Lanjut had bersara bagi pekerja produktif sahaja
SEBELUM ini pakar ada menyarankan supaya had umur persaraan pekerja di Malaysia dinaikkan kepada 65 tahun kerana terdapat pelbagai keperluan mendesak terutamanya dalam purata jangka hayat rakyat negara ini sekitar 75 tahun ke atas.
Berdasarkan perbandingan di peringkat global, persaraan wajib di Malaysia yang ditetapkan pada usia 60 tahun secara relatifnya lebih rendah berbanding negara lain.
Contohnya usia persaraan di Jepun ditetapkan pada usia 65 tahun dengan saiz warga emas tertinggi di negara itu.
Pada masa sama cadangan melanjutkan usia persaraan seiring dengan jangkaan rakyat Malaysia menjadi negara tua menjelang 2043 iaitu 14 peratus daripada penduduk terdiri daripada populasi berusia 65 tahun ke atas.
Ia susulan kesan daripada peningkatan jangka hayat dan penurunan kadar kelahiran.
Bagi Ketua Jabatan Polisi dan Strategi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Balqais Yusoff pula, had persaraan di Malaysia dicadangkan supaya dinaikkan secara berkala sehingga mencecah sekurang-kurangnya 65 tahun selari dengan definisi warga emas di bawah takrifan antarabangsa.
Katanya, langkah itu sekali gus mampu menjadi salah satu kaedah terbaik dalam meningkatkan dana persaraan menerusi simpanan di KWSP.
Beliau berkata, secara realitinya, penangguhan pengeluaran simpanan KWSP akan melipatgandakan simpanan sedia ada pada masa hadapan.
Tambahan pula menurutnya, had usia persaraan melebihi 60 tahun telah diamalkan di kebanyakan negara termasuk di Singapura.
Buat masa ini kerajaan belum menetapkan umur had persaraan dinaikkan kepada umur yang dicadangkan itu.
Jika melihat kepada senario semasa, keputusan untuk menaikkan had secara pukal adalah kurang efisien. Adalah lebih baik, had persaraan dibuat secara terpilih iaitu melibatkan mereka yang masih produktif untuk bekerja dan sihat.
Keutamaan juga boleh diberikan kepada mereka yang mempunyai kepakaran yang hebat misalnya jika individu itu bersara akan menyebabkan kerugian kepada organisasi terlibat.
Janganlah dipanjangkan perkhidmatan golongan pekerja yang ada pun tidak membantu, jika tiada lebih baik.
Memanjangkan tempoh perkhidmatan mereka yang sepatutnya pencen juga menyekat peluang anak muda untuk bekerja.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!