Selepas 20 tahun masih trauma tragedi lauk ayam percik basi

Berhati-hati ketika menikmati makanan di luar terutama gerai yang tidak bersih bagi menggelakkan keracunan makanan. Foto hiasan
Berhati-hati ketika menikmati makanan di luar terutama gerai yang tidak bersih bagi menggelakkan keracunan makanan. Foto hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan tak boleh lupa sampai bila-bila tragedi 20 tahun lalu mengalami keracunan makanan selepas menjamah nasi berlauk ayam percik yang dibeli di medan selera.

Sakitnya bukan kepalang apabila terpaksa 'berumah' di dalam tandas kerana muntah berkali-kali hingga tiada apa lagi bahan dari dalam perut yang boleh dikeluarkan.

Terasa seperti urat perut hendak ditarik keluar ditambah pula masalah cirit-birit yang tidak henti-henti.

Merak Jalanan segera ke klinik kerana bimbang kesannya akan lebih parah jika lambat mendapatkan rawatan.

Selepas tragedi itu sehinggalah ke hari ini, Merak Jalanan amat berhati-hati dalam bab makanan, kebersihan restoran dan pekerjanya.

Merak Jalanan tidak akan sesekali makan di tempat yang boleh mengundang tragedi sama kerana tidak sanggup lagi melalui apa yang dihadapi sebelum ini. Sakitnya cukup perit. Bagi yang tahu, tahulah.

Begitu juga dengan makanan yang dibungkus, jika untuk sarapan maka Merak tak akan simpan sampai ke petang. Makanan yang bentuk, rasa dan bau yang mencurigakan akan dihindari dari awal.

Rentetan beberapa kes kematian akibat keracunan ini seperti yang berlaku mutakhir ini, Merak Jalanan berharap peniaga dan penyedia makanan lebih bertanggungjawab selepas ini.

Artikel Berkaitan:

Janganlah makanan yang tidak habis dijual, dipanaskan dan dijual semula pada keesokan harinya semata-mata kerana tidak mahu menanggung kerugian. Tindakan penting diri seperti itu boleh menyebabkan orang lain menjadi mangsa.

Bagi makanan yang dibungkus, wajar untuk diletakkan pelekat di bungkusan yang makanan itu hanya boleh dimakan dalam tempoh tertentu.

Ia bagi membolehkan pelanggan mengetahui sama ada makanan itu masih elok atau sebaliknya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!