Sakit hati dipecat, bekas pekerja ugut jual 'video peribadi' artis terkenal
JAKARTA - Tindakan seorang lelaki yang dikenali sebagai AP, 29, mengugut artis terkenal Indonesia Ria Ricis berpunca daripada tindakan majikannya itu memberhentikannya.
Mengesahkan perkara itu, jurucakap Pejabat Polis Daerah Metro Jaya, Ade Ary Syam Indradi berkata, hasil siasatan mendapati lelaki itu rasa sakit hati selepas dipecat sebagai pengawal keselamatan di rumah Ria.
"Dia memaklumkan bahawa dia geram dan marah kerana diberhentikan daripada pekerjaannya sebagai satpam (pengawal keselamatan)," katanya kepada pemberita pada Rabu.
Terdahulu Ria membuat laporan polis selepas menjadi mangsa ugut AP yang mahu menyebarkan foto dan video peribadinya.
Ria berkata, AP meminta dia memindahkan wang sebanyak 300 juta Rupiah atau RM87,000 jika tidak mahu foto dan video peribadinya tersebar.
Mengulas lanjut, Ade berkata, selain itu AP juga mendakwa bahawa dia susah selepas tidak lagi mempunyai pekerjaan.
"Sebab itulah dia mengugut Ria sehingga 300 juta Rupiah," katanya.
Dalam pada itu, Ade memaklumkan bahawa Ria tidak sempat memindahkan wang itu kerana AP berjaya ditangkap bahagian jenayah siber Metro Jaya setelah laporan dibuat Ria.
Dipercayai AP mendapatkan gambar dan video peribadi menerusi telefon bimbit yang diberikan oleh Ria ketika dia berkhidmat dengan akters berkenaan.
AP kini ditahan dan akan dikenakan hukuman menurut Fasal 48 Undang-Undang Nombor 1, Tahun 2024 pindaan Undang-Undang Nombor 11 Tahun 2008 tentang Informasi dan Transaksi Eletronik. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!