Usaha melahirkan generasi penamat rasuah
TAIPING - Pendedahan terhadap bahaya rasuah kepada pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) merupakan inisiatif melahirkan generasi penamat bagi perlakuan jenayah tersebut.
Timbalan Pengetua Pembangunan Pelajar MRSM Taiping, Rozaidi Ishak berkata, pelajar ini akan menjadi benteng yang hebat apabila disemai dan disuburkan dengan awal betapa pentingnya perasaan benci kepada rasuah serta mengetahui tentang kesan perlakuan jenayah itu.
Menurutnya, golongan generasi muda yang ada pada hari ini merupakan bakal pemimpin akan datang sekaligus pembentukan peribadi mereka akan mencerminkan hala tuju negara.
"Ini merupakan titik perubahan kerana di sini merupakan MRSM Bitara yang mana pelajar yang hebat dari sudut kognitifnya. Pada saya Rasuah Busters ini memberi satu imej yang baik, input yang berguna, keinginan untuk kita buat dan apa tindakan kita untuk generasi akan datang.
"Jadi bila ditanya manfaatnya memang besar dan saya berharap program ini diteruskan khususnya di MRSM kerana inilah tempat anak-anak Melayu kita untuk jadi pemimpin akan datang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena program Jelajah Antirasuah MRSM di MRSM Taiping di sini pada Rabu.
Sementara itu, Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin mengakui kagum dengan potensi luar biasa ditunjukkan para pelajar dalam memahami tentang bahaya rasuah apabila tampil dengan pelbagai penyelesaian menerusi aktiviti simulasi yang dijalankan.
Menurutnya, mereka mula sedar bahawa kemungkinan rasuah itu boleh berlaku melalui sikap yang tidak ditangani di peringkat awal termasuk di sekolah dan di rumah sendiri.
Jelasnya, pelajar-pelajar MRSM ini mempunyai sikap futuristik mereka dengan merasakan bahawa berfikiran jauh itu merupakan salah satu ciri-ciri penting dalam membuat sebarang keputusan.
"Pelajar-pelajar kita ini adalah aset yang sangat penting untuk negara dan merupakan generasi penamat untuk rasuah. Mereka adalah ejen perubahan yang perlu menyampaikan mesej ini dalam konteks kapasiti mereka kepada ahli keluarga, rakan-rakan yang tidak berada di MRSM, adik beradik sendiri.
"Di situlah peranan Rasuah Busters sebagai gerakan rakyat yang kita tidak tertumpu kepada satu segmen tumpuan sahaja. Mereka ada pelan tindakan yang luar biasa, bayangkan kalau kita jaga aset negara dan bakal-bakal pemimpin kita ini, InsyaALLAH kita ada harapan untuk menjadi negara yang disegani di persada antarabangsa," katanya.
Dalam pada itu, seorang pelajar MRSM Taiping, Aisya Hawani Mohamad A'fif, 16, berkata, program yang disertai itu memberikan satu pendedahan yang jelas terhadap kesan rasuah yang berantai.
Menurutnya, memilih pelajar MRSM untuk mengikuti program ini adalah satu tindakan yang tepat kerana generasi mereka akan bertanggungjawab menentukan masa depan negara tidak hancur disebabkan rasuah.
"Program ini amat baik kerana generasi kami inilah yang akan memimpin negara dan menjadi pemimpin. Saya rasa pemimpin akan datang tidak akan terpedaya dengan rasuah sekaligus menjadikan negara bebas rasuah.
"Saya pasti akan berkongsi ilmu pengetahuan ini kepada semua dengan apa cara sekalipun sama ada menerusi media sosial atau beritahu kepada rakan-rakan dan ahli keluarga. Rasuah bahaya kerana negara akan rosak, pentadbiran negara juga akan rosak disebabkan ada pemimpin yang tak sepatutnya jadi pemimpin," katanya.
Jelajah Antirasuah MRSM merupakan program usaha sama Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Rasuah Busters yang bermula pada 10 hingga 14 Jun ini melibatkan empat institusi iaitu di MRSM Pasir Salak, MRSM Parit, MRSM Taiping dan MRSM Sultan Azlan Shah.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!