[VIDEO] Zaim, Ismanira tidak mengaku bersalah abai Zayn Rayyan

A
A
A

PETALING JAYA – [DIKEMAS KINI] Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autism berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya pada jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira (tiga dari kiri) dan Zaim Ikhwan (lima dari kiri) dilihat keluar dari lobi mahkamah dipercayai bagi menghadapi pertuduhan kes jenayah selepas tamat tempoh reman di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ibu bapa Zayn Rayyan, Ismanira (tiga dari kiri) dan Zaim Ikhwan (lima dari kiri) dilihat keluar dari lobi mahkamah dipercayai bagi menghadapi pertuduhan kes jenayah selepas tamat tempoh reman di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis. - FOTO: SINAR HARIAN / ASRIL ASWANDI SHUKOR




Ia beserta tambahan kepada apa-apa hukuman yang dinyatakan dalam subseksyen (1), memerintahkan supaya orang yang disabitkan atas kesalahan di bawah subseksyen itu menyempurnakan bon dengan penjamin berkelakuan baik selama apa-apa tempoh dan dengan apa-apa syarat yang difikirkan patut oleh mahkamah serta melaksanakan khidmat masyarakat.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pendakwaan juga mencadangkan, mereka dikenakan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat sekali setiap bulan.

“Dua tertuduh ini berdepan pertuduhan bagi kesalahan yang serius, maka jumlah yang kami cadangkan ini, merupakan kadar yang sesuai.

“Mahkamah perlu mengambil kira kesan pertuduhan pengabaian ini yang membawa kepada kematian kanak-kanak tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Fahmi Abd Moin yang mewakili Zaim Ikhwan membantah cadangan terbabit dengan alasan ia terlalu tinggi sehingga mungkin menyebabkan anak guamnya terpaksa ‘hidup’ dalam penjara.

Menurutnya, kes ini menyebabkan Zaim Ikhwan dan isterinya mengalami penyakit kemurungan yang teruk.

“Bermula kisah kehilangan Zayn Rayyan hinggalah permohonan reman mengikut Seksyen 302 kanun keseksaan, ia telah mengubah 180 darjah kehidupan mereka.

“Berdasarkan alasan tersebut, saya percaya mahkamah boleh menimbangkan prinsip kepentingan umum dan anak guam kami,” katanya yang menambah, anak guamnya sentiasa memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang lagi peguam, Mahmud Jumaat yang mewakili Ismanira, merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum.

Beliau turut mengesahkan wanita itu mengalami tekanan emosi yang teruk dan terpaksa mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

“Serentak itu, dia juga perlu merawat anak keduanya yang juga autisme dan mempunyai masalah pertuturan.

“Saya percaya dengan syarat-syarat tambahan ini, mereka akan memberikan kerjasama sepenuhnya,” katanya.

Mendengar perkara itu, Ku Hayati kemudiannya menimbulkan persoalan sama ada mahkamah boleh merekodkan pengakuan daripada Ismanira kerana penyakit berkenaan mungkin mempengaruhi pengakuan terdahulu.

Hakim: Jadi bagaimana peguam? Pengakuan telah diambil sebentar tadi.

Mahmud: Tujuan saya membangkitkan penyakit kemurungan itu hanya membabitkan rayuan mitigasi bagi mengurangkan jumlah jaminan kerana dia tidak lagi bekerja.

Hakim: Ismanira, tadi pertuduhan telah dibacakan pada kamu, adakah kamu faham?

Ismanira: Faham.

Hakim: Kamu kata tidak bersalah, boleh sahkan?

Ismanira: Ya, tidak bersalah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Mereka juga perlu memenuhi syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat dan tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya yang menetapkan sebutan semula kes pada 26 Julai.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Susulan itu, ibu bapa kanak-kanak malang terbabit ditahan reman selama 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!