35 peratus pekerja Malaysia tidak menerima sokongan kewangan daripada majikan - Randstad
SHAH ALAM - Penyelidikan pasaran buruh baharu mendapati 35 peratus pekerja Malaysia tidak menerima sebarang sokongan kewangan daripada majikan mereka untuk membantu menguruskan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Bersempena dengan pelepasan penemuan awal Penyelidikan Jenama Majikan tahunan ke-9 di Malaysia yang dijalankan oleh Kantar TNS pada Januari, Syarikat bakat terbesar di dunia, Randstad hari ini mendedahkan Gen Xers dikatakan paling kurang menerima pampasan.
Randstad dalam satu kenyataan berkata, walaupun berkemungkinan menjadi penyumbang terbesar kepada perbelanjaan, Gen Xers dikatakan akan paling kurang menerima pampasan untuk menguruskan kos yang semakin meningkat.
"Kajian itu meninjau 173,000 responden di seluruh dunia termasuk 2,500 individu di Malaysia menjadikannya penyelidikan penjenamaan majikan paling komprehensif berdasarkan persepsi khalayak umum.
"Pekerja yang tidak menerima sebarang pampasan inflasi hampir 40 peratus berkemungkinan mencari pekerjaan baharu, menekankan kepentingan untuk majikan memahami dan memenuhi jangkaan bakat, khususnya mengenai pelarasan inflasi," katanya pada Khamis.
Sementara itu, pengarah negara Randstad Malaysia, Fahad Naeem berkata, menerusi jangkaan bakat selama sembilan tahun dan data jenama majikan yang dikumpulkan di Malaysia, firma itu dapat menganalisis beberapa perkara.
"Antaranya perubahan keutamaan tenaga kerja, perkara yang boleh dilakukan majikan untuk menarik minat pekerja dan mengekalkan bakat.
"Walaupun pandemik Covid-19 membawa perpaduan, majikan mesti memahami bahawa bakat mempunyai jangkaan baharu dan lebih tinggi yang mana memerlukan mereka proaktif," jelasnya.
Fahad memberitahu, penyelidikan itu turut mendedahkan sebab utama mendorong pekerja Malaysia menukar pekerjaaan adalah ketidakpuasan hati terhadap keseimbangan kerja dan kehidupan yang menonjol.
Beliau berkata, sebanyak 48 peratus responden menyatakan keinginan untuk meningkatkan keseimbangan kerja dan kehidupan mereka sebagai motivasi utama untuk mempertimbangkan pertukaran pekerjaan.
"Ini diikuti dengan aspirasi untuk pertumbuhan kerjaya dengan 37 peratus menyatakan keinginan untuk berperanan dan bersedia menerima tanggungjawab yang lebih besar serta peluang kenaikan pangkat.
"Ini lebih ketara dalam kalangan demografi yang lebih muda iaitu sebanyak 40 peratus responden Gen Z mengutamakan kemajuan kerjaya, berbanding 33 peratus rakan sejawat mereka yang lebih tua," jelasnya
Menurut Fahad, kebimbangan mengenai gaji juga sangat membebankan fikiran bakat Malaysia dengan 34 peratus responden menyebut gaji rendah ditambah dengan peningkatan kos sara hidup sebagai alasan mencari pekerjaan baharu.
Fahad berkata, keseimbangan antara kerja dan kehidupan pekerja sangat bergantung kepada budaya di sesebuah organisasi.
"Pengurus memainkan peranan penting dalam hal ini dengan mengekalkan produktiviti dalam tetapan kerja hibrid dan memastikan beban kerja diagihkan secara adil.
“Untuk mengekalkan dan menarik bakat, syarikat seharusnya proaktif, memahami dan menyokong keperluan tenaga kerja mereka termasuk memupuk persekitaran di mana pekerja berasa dihargai, diberi kuasa serta bermotivasi untuk berkembang maju," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!