[VIDEO] SPRM belum terima panggilan menantu Muhyiddin untuk serah diri

A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan masih belum menerima panggilan daripada ahli perniagaan, Datuk Muhammad Adlan Berhan iaitu menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pertuduhan pecah amanah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih meneruskan usaha mengesan keberadaan Muhammad Adlan selain meminta individu tersebut untuk menyerah diri dan menghadapi pertuduhan yang dikenakan.

“Tiada perkembangan, beliau belum lagi dapat dikesan atau menghubungi kita (SPRM) untuk menyerah diri.

“Tindakan lanjut setakat ini kita masih teruskan usaha dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa lain bagi mengesan beliau,” katanya.

Azam berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Azam ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.
Azam ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Februari melaporkan bahawa Azam mengesahkan siasatan ke atas Muhammad Adlan sudah lengkap, namun keberadaan individu berkenaan belum dikenal pasti memandangkan beliau tidak pulang ke tanah air selepas keluar dari Malaysia pada Mei tahun lalu.

Jelasnya, Muhammad Adlan perlu kembali ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan oleh SPRM membabitkan kes pecah amanah jenayah (CBT).

Pada Oktober tahun lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberitahu telah menyerahkan dokumen kepada Interpol untuk permohonan notis merah terhadap Muhammad Adlan dan peguamnya, Mansoor Saat.

Beberapa dokumen termasuk draf pertuduhan kes membabitkan dua individu terlibat diserahkan kepada PDRM bagi melengkapkan permohonan notis merah.

Tindakan memanggil Muhammad Adlan dilakukan oleh SPRM membabitkan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!