Kedai runcit gagal bayar cukai taksiran diserbu

Mohd Faiz (dua dari kanan) semasa operasi dilakukan di sebuah kedai runcit di Bandar Malawati di sini pada Khamis.
Mohd Faiz (dua dari kanan) semasa operasi dilakukan di sebuah kedai runcit di Bandar Malawati di sini pada Khamis.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Sebuah kedai runcit di Bandar Malawati di sini, diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) selepas gagal membayar cukai taksiran tertunggak berjumlah RM8,600.

Panel Peguam MPKS, Mohd Faiz Abd Rahim berkata, operasi kira-kira jam 10 pagi Khamis itu dilakukan berikutan kegagalan pemilik mematuhi perintah penghakiman dan menjelaskan tunggakan berkenaan.

"Saya mencadangkan kepada MPKS untuk mengambil tindakan terhadap pemilik premis melalui pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan (WSS) yang dikeluarkan pada 10 Mei lalu.

"Operasi (hari ini) adalah sebahagian daripada proses dan sekiranya pemilik masih gagal menjelaskan bayaran, maka (tindakan) sitaan barang akan dilakukan di premis perniagaan," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Mohd Faiz memberitahu, bailif mahkamah juga telah membuat inventori dengan menyenaraikan barangan yang disita selain menetapkan tempoh selama 14 hari bagi pemilik menjelaskan bayaran tunggakan.

Beliau memberitahu, tindakan sitaan yang dijalankan adalah selaras dengan keperluan Seksyen 156, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) susulan kegagalan pemilik menjelaskan tunggakan cukai taksiran tertunggak.

"Kita tidak boleh lari dengan apa yang dinyatakan dalam penghakiman termasuk kos yang telah mahkamah berikan serta faedah pada kadar lima peratus daripada tarikh penghakiman 2 Disember 2022.

"Sitaan barangan tersebut dilakukan bagi mendapatkan jumlah penghakiman cukai taksiran tertunggak sebanyak RM8,600, manakala anggaran cukai semasa melebihi RM12,000.

Artikel Berkaitan:

"Nilai anggaran barang sitaan berjumlah RM3,000 termasuk lapan barang antaranya rak, peti ais dan barangan peruncitan," jelas beliau.

Beliau memberitahu, pemilik sebelum ini pernah mengadakan perbincangan dengan MPKS, bagaimanapun tiada sebarang persetujuan atau bayaran ansuran diterima.

"Justeru, MPKS mengingatkan semua pemilik harta memastikan tunggakan cukai taksiran telah dijelaskan bagi mengelak tindakan sita diambil ke atas premis masing-masing," tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perbendaharaan MPKS, Liliana Ahmad berkata, MPKS mengambil tindakan serius

terhadap pemilik harta yang mempunyai tunggakan cukai taksiran.

"Walaupun setelah diberikan beberapa peluang untuk menjelaskan seperti diberikan jadual ansuran untuk menjelaskan tunggakan cukai taksiran, namun masih terdapat pemilik harta ingkar dengan arahan.

"Tindakan ini diambil kerana pemilik harta telah mengabaikan dan gagal membayar cukai taksiran mengikut jadual ansuran yang diberikan.

"Pelaksanaan ini dijangka mempunyai beberapa fasa lanjut selepas penelitian dan tapisan pihak pengurusan," tambah beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!