[VIDEO] Aliff Aziz, Bella cerai talak satu
[DIKEMAS KINI] PELAKON dan penyanyi, Aliff Aziz menceraikan isterinya, Bella Astillah dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, pada Khamis.
Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 33, melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat pada pukul 1.10 petang selepas mahkamah membenarkan permohonan perceraian yang dibuat penyanyi wanita itu pada 11 Mac lalu.
Semasa prosiding, peguam syarie yang mewakili Bella, Azmi Mohd Rais memaklumkan, plaintif dalam keadaan suci dan tidak mengandung.
Bella atau nama penuhnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah kelihatan tenang ketika lafaz diucapkan dan bersetuju tidak menuntut mutaah serta nafkah iddah.
Sebagai rekod, Aliff dan Bella pernah bercerai talak satu pada 16 Mei 2019, namun rujuk semula ketika dalam iddah.
Ketika prosiding, Azmi berkata, perbincangan dibuat antara kedua-dua pihak termasuk beberapa terma yang dipersetujui bersama.
"Dalam perjanjian itu, ada terma di mana defendan hadir melafazkan cerai dan plaintif melepaskan hak mutaah serta nafkah iddah dan kedua-dua pihak tidak akan menuntut harta sepencarian.
"Aliff lepaskan hak penjagaan anak-anak kepada Bella sepenuhnya selain tidak akan menuntut nusyuz sekiranya ada dan perjanjian itu ditandatangani hari ini," katanya.
Mahkamah merekodkan perjanjian penyelesaian antara kedua pihak di bawah bidang kuasa mahkamah rendah iaitu berkenaan iddah, mutaah, tunggakan nafkah isteri dan harta sepencarian tidak dituntut antara satu sama lain.
Sebelum ini Bella memfailkan permohonan cerai secara 'fast track' terhadap Aliff pada 11 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 atas alasan mereka sudah tiada persefahaman dan tiada mawaddah (cinta dan kasih sayang).
Perceraian fast track merupakan satu proses yang mana pasangan bersetuju untuk bercerai di bawah peruntukan berkenaan dan tidak perlu menunggu selama 90 hari untuk menyelesaikan kes mereka.
Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkongsian hidup dikurniakan dua cahaya mata iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!