Tukang kebun didenda RM2,500 khianat anjing

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kulim pada Khamis.
Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kulim pada Khamis.
A
A
A

KULIM - Seorang tukang kebun didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Kulim selepas mengaku salah melakukan khianat terhadap seekor anjing di sini, Ahad lalu.

Majistret Jamaliah Abd Manaf menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Yusof Majid, 66, selepas pengakuan bersalah warga emas itu direkodkan.

Md Yusof mengaku salah melakukan khianat terhadap seekor anjing dengan cara mengikat haiwan tersebut di bahagian kaki dan mengheret menggunakan motosikal.

Perbuatan itu dilakukan pada 9 Jun lalu, lebih kurang 7.30 pagi di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Junjung di sini.

Disebabkan itu, dia telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili Peguam Amir Hamzah A Rahman.

Dalam hujah pembelaan, Amir Hamzah merayu agar denda minimum RM1,000 dikenakan memandangkan tertuduh hanya berpendapatan RM1,500 selain perlu menyara isteri dan seorang anak.

Tertuduh juga dikatakan menghidap sakit jantung, darah tinggi dan sawan serta akan mendatangkan masalah kepada keluarga sekiranya dihukum penjara.

Artikel Berkaitan:

Menurut Amir Hamzah, tertuduh telah menyesal atas perbuatan itu dan menjelaskan bahawa kejadian dikatakan berpunca daripada tindakan sekumpulan anjing liar yang sering masuk ke kawasan sekolah dan mencemarkan persekitaran.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh sebagai pengajaran awam.

Majistret Jamaliah kemudian memerintahkan hukuman denda sebanyak RM2,500 serta menasihati tertuduh agar tidak bertindak sendiri dalam kes itu kerana sepatutnya perlu melaporkan kejadian kepada pihak sekolah dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar.

Jelasnya, walaupun mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh, namun hukuman yang dikenakan adalah satu bentuk pengajaran selain menasihati supaya tidak mengulangi kesilapan itu pada masa hadapan.

Sebelum ini, video berdurasi dua minit 13 saat tular di media sosial memaparkan kejadian di mana seorang lelaki dipercayai mengheret seekor anjing sehingga ke luar kawasan sekolah menyebabkan berlaku kecederaan ke atas haiwan berkenaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!