Kerajaan tamatkan konsesi pengerukan IMW

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan telah mengeluarkan notis penamatan konsesi pengerukan dan penambakan ke atas Integrated Marine Works Sdn Bhd (IMW) pada Selasa lalu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan itu dibuat berikutan IMW telah melakukan pelanggaran syarat-syarat Perjanjian Konsesi Pengerukan dan Penambakan.

Menurutnya, antara terma perjanjian yang telah dilanggar oleh IMW adalah menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan.

"Semasa perjanjian ditandatangani, syarikat IMW dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn Bhd, walau bagaimanapun, sekitar bulan Julai 2023, MOT telah mendapat makluman bahawa syarikat berkenaan telah pun digulung melalui Perintah Gulung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh 11 April 2023," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Khamis.

Menurutnya, siasatan lanjut MOT mendapati bahawa pemegang saham syarikat IMW telah ditukar daripada Inai Kiara kepada Inai Warisan tanpa kebenaran Kerajaan.

"Ini bermakna syarikat IMW telah melanggar salah satu terma perjanjian di mana berdasarkan perjanjian, pihak syarikat tidak boleh menukar pemegang saham tanpa kebenaran kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata, IMW juga didapati telah gagal membuat pembayaran caj konsesi bagi tahun lalu seperti mana yang termaktub dalam perjanjian.

"Sebagai latar belakang, perjanjian penswastaan pertama antara kerajaan dengan IMW telah dimeterai pada 21 Disember 2004 dengan tempoh konsesi selama 15 tahun.

Artikel Berkaitan:

"Melalui perjanjian terdahulu, kerajaan telah memberikan hak ekslusif kepada IMW bagi menjalankan kerja- kerja pengerukan dan penambakan di 11 pelabuhan," katanya.

Ujar Anthony, perjanjian penswastaan tersebut telah berakhir pada 20 Disember 2019 dan ketika itu, Kerajaan Pakatan Harapan tidak berhasrat untuk menyambung semula konsesi IMW selaras dengan dasar penamatan monopoli.

"Walaubagaimana pun, selepas pertukaran kerajaan, Jemaah Menteri yang baru pada 7 Julai 2021 telah memutuskan untuk melantik semula IMW bagi melaksanakan kerja-kerja pengerukan dan penambakan di

pelabuhan-pelabuhan Persekutuan dalam negara dengan tempoh konsesi selama 15 tahun yang akan tamat pada tahun 2036, tertakluk pada terma ditetapkan," jelas beliau.

Tambahnya, pada 30 Mei 2022, Perjanjian Konsesi Pengerukan dan Penambakan telah pun ditandatangani antara kerajaan yang diwakili oleh MOT, suruhanjaya, Lembaga Pelabuhan dan syarikat IMW.

"Semasa Perjanjian Konsesi tersebut ditandatangani, IMW adalah dimiliki sepenuhnya oleh Inai Kiara Sdn Bhd seperti yang termaktub dalam perjanjian," katanya.

Tegas Anthony, MOT tidak akan melantik syarikat konsesi baru susulan penamatan tersebut.

Sebaliknya, dasar yang baru akan digubal untuk menggalakkan pertumbuhan industri pengerukan dan penambakan di kalangan syarikat-syarikat tempatan yang lebih berdaya saing demi pembangunan

pelabuhan-pelabuhan negara.

"Perlu ditegaskan kebanyakan projek pengerukan dan penambakan di pelabuhan adalah dibiayai oleh operator-operator pelabuhan masing-masing," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!