Dua kali masuk penjara, banduan insaf mahu berubah
MARANG - Sudah dua kali masuk penjara, seorang banduan yang dibebaskan melalui program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani berjanji untuk tidak kembali ke kancah penagihan dadah kerana sudah insaf dengan perbuatan tersebut.
Banduan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 35, melahirkan rasa syukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut Aidiladha.
Ahmad antara 118 banduan dari Penjara Marang yang dilepaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani - Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidiladha 2024, pada Khamis.
"Saya dimasukkan ke dalam penjara pada kali pertama pada tahun 2016 akibat kesalahan menagih dadah.
"Setelah bebas, saya cuba menjalani kehidupan seperti biasa namun kembali terjebak dengan penagihan dadah dan kembali dimasukkan ke dalam penjara pada Februari lepas.
"Saya tidak mahu lagi mengulangi kesalahan yang sama dan betul-betul insaf. Alhamdulillah... saya diberi peluang dapat pulang berhari raya bersama ibu di rumah selain berazam mahu menjadi anak yang baik, berbakti kepada untuk ibu dunia akhirat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program tersebut di Penjara Marang di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, ibu kepada Ahmad yang mahu dikenali sebagai Siti, 65, pula berkata, dia mendoakan supaya anaknya itu tidak mengulangi kesalahan yang sama selain berubah menjadi lebih baik pada satu hari nanti.
"Sebagai umat Islam, kita akan sentiasa diuji dengan pelbagai perkara dan ujian saya pula ialah anak yang terlibat dengan penagihan dadah.
"Saya mendoakan supaya dia dapat menjalani hidup di jalan ALLAH dan akan terus membimbingnya sebaik sahaja bebas kali ini.
"Untuk perayaan Aidiladha nanti, saya tidak sabar untuk menyediakan hidangan istimewa nasi minyak untuk anak," ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi banduan mahu dikenali sebagai Abu, 29,
berharap masyarakat akan menerimanya dengan ikhlas bagi memulakan hidup baharu dan berazam mahu mempunyai keluarga sendiri satu hari nanti.
"Alhamdulillah... saya sudah mendapat kerja di sebuah kedai mencuci kereta selepas hari raya Aidiladha nanti.
"Sepanjang berada dalam penjara, saya kembali menghayati ajaran Islam dengan lebih sempurna dari segi bacaan al-Quran, ilmu fardu Ain dan solat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!