Motosikal rosak, dua rakan kantoi edar dadah
KUALA PILAH - Misi dua rakan karib membawa bekalan dadah dari Johor menghala ke Pahang tidak kesampaian selepas mereka ditahan di sebuah rumah, di Kampung Sompo Dangi, Johol di sini akibat motosikal yang ditunggang rosak, pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Gani berkata, penahanan suspek berusia 38 dan 41 tahun itu dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah pada jam 1.30 pagi.
Menurutnya, suspek yang merupakan penagih dadah tegar itu dicekup setelah mendapati memiliki 1.07 kilogram dadah jenis Heroin dan 25.4 gram syabu dengan nilai keseluruhan RM41,684
"Hasil risikan dua lelaki terbabit menaiki motosikal secara berasingan jenis Yamaha Y15 ZR dan Yamaha 135 LC dari Johor dalam perjalanan ke Pahang disyaki untuk mengedar dadah tersebut.
"Kebetulan suspek orang sini dan singgah ke rumah saudara (lokasi serbuan) di kampung tersebut kerana lampu motosikal salah seorang suspek mengalami kerosakan," katanya ketika sidang akhbar di IPD Kuala Pilah pada Khamis.
Ujarnya, berikutan itu polis menahan lelaki terbabit dan menjumpai bungkusan dadah jenis heroin dan syabu dalam beg suspek.
"Hasil pemeriksaan air kencing kedua-dua suspek didapati positif morphine dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.
"Pihak polis turut menyita dua motosikal suspek dengan nilai sitaan keseluruhan RM20,000.
"Dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan kepada 3,583 individu dan tangkapan kali ini merupakan rampasan terbesar sejak lima tahun lalu yang mana kebanyakan tokan dadah menjadikan daerah ini sebagai lokasi transit sebelum menghala ke arah utara," katanya.
Amran berkata, setakat ini pihaknya telah membanteras kegiatan pengedaran pelbagai jenis dadah di daerah ini dengan jumlah RM70, 674.80 bagi tempoh Januari hingga Mei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!