Azam bidas Hamzah, nafi SPRM jadi alat ‘bunuh karakter politik'

Azam, Hamzah
Azam, Hamzah
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki membidas dakwaan kononnya agensi itu dijadikan alat bagi 'pembunuhan karakter politik' sepertimana dikatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin baru-baru ini.

Dakwaan tersebut dibuat selepas anaknya, Muhammad Faisal, 40, dituduh menerima rasuah sebanyak RM100,000 untuk mendapatkan tender sebuah syarikat sekitar enam tahun lalu.

Azam berkata, SPRM bertindak profesional dan tidak membuat pendakwaan secara terpilih terhadap mana-mana pihak.

“Saya tak setuju dengan kenyataan (Hamzah) kerana tindakan kami adalah profesional dan tidak mengira siapa sama ada pegawai, ahli politik kerajaan semasa atau sebagainya.

“Apabila ada aduan dan kesalahan, kami akan tuduh di mahkamah, itu sahaja. Tidak ada pendakwaan terpilih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran buku ‘The Sin of Corruption: A Religious Perspective’ oleh Transparency International Malaysia (TI-Malaysia) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis.

Sebelum ini, Hamzah beranggapan bahawa pendakwaan yang dibuat terhadap anaknya merupakan siri ‘perancangan pembunuhan karakter politik’ ditujukan kepadanya sebagai ketua pembangkang.

Beliau mendakwa, ia dilakukan apabila usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memperalatkan agensi kerajaan bagi mencipta naratif atau persepsi ke atas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) termasuk dirinya menemui kegagalan.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Faisal didakwa menerima suapan daripada seorang individu sebagai upah bagi Heitech Padu Berhad melantik syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Per My Solutions sebagai konsultan pemasaran disebabkan pengaruh yang dimilikinya.

Dua syarikat berkenaan dibayar komisen berjumlah RM700,000 selepas Heitech Padu dianugerahkan tender 'Supply, Rental, Implementation, Training, Support and Maintenance of Security Infrastructure' bernilai RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah suapan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!