60 peratus veteran ATM dapat kerja kedua
KOTA BHARU - Sebanyak 60 peratus veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat pekerjaan kedua selepas menamatkan latihan di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) tahun lalu.
Pendaftar Sektor Pengurusan Latihan Perhebat, Mohd Zamri Mohd Salim berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 17 peratus mereka mendapat pekerjaan bermajikan, menjadi usahawan tunas atau bekerja sendiri (23 peratus) dan usahawan (20 peratus).
“Perhebat memantau perkembangan kerjaya keseluruhan 6,851 veteran yang tamat latihan peralihan pada tahun tersebut dan 60 peratus mereka berjaya mempunyai pekerjaan kedua.
“Selebihnya, 40 peratus veteran ATM sedang mencari pekerjaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Sijil Perhebat, di sebuah hotel di Tunjong, di sini, pada Khamis.
Turut hadir, Panglima Briged Kelapan Infantri, Brigedier Jeneral Muzamil Ali yang merasmikan majlis dan menyampaikan sijil tersebut kepada 201 veteran dari seluruh negara.
Menurut Mohd Zamri, pemantauan penting bagi tujuan analisis data oleh Kementerian Pertahanan dalam usaha memperkemaskan dasar dan kaedah padanan kerjaya veteran setelah tamat perkhidmatan.
Kata beliau, jumlah anggota ATM yang memohon untuk mengikuti latihan peralihan Perhebat turut melonjak dengan amat ketara.
“Sebanyak 93.1 peratus atau 5,478 anggota memilih perhebat berbanding lima kategori latihan peralihan lain sehingga Mei lalu.
“Transformasi dan penambahbaikan kurikulum latihan menjadi faktor penarik kepada pegawai kanan ATM berpangkat leftenan jeneral, mejar jeneral, brigedier jeneral, kolonel, leftenan kolonel dan mejar memilih untuk mengikuti latihan peralihan di Perhebat sebagai persediaan persaraan,” ujarnya.
Kata beliau, dalam usaha memberi nilai tambah dan peluang kepada anggota serta veteran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi sekali gus meningkatkan kebolehpasaran dalam sektor pekerjaan, Perhebat juga dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).
“Antaranya melaksanakan Program Recognition of Prior Experiential Learning yang menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia, Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia.
“Sejak dilaksana pada tahun 2017 hingga 2023, sejumlah 4,796 anggota dan veteran ATM berjaya ditauliahkan pensijilan-persijilan berkenaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!