Subsidi bersasar wajar, lama tersalur kepada golongan mewah

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk melaksanakan subsidi bersasar adalah wajar memandangkan sudah sedemikian lama kemudahan yang bernilai berbilion ringgit itu tersalur kepada golongan mewah.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, subsidi pukal sememangnya sangat popular untuk memancing undi namun pelaksanaan tanpa mengira kategori pendapatan amat membebankan dan tidak kondusif untuk kemampanan kewangan negara.

Katanya, seperti dalam sistem keadilan sosial Islam yang mana golongan berpendapatan rendah harus terus dilindungi dari manipulasi pasaran bebas.

"Subsidi bersasar adalah untuk memastikan golongan rakyat bawahan yang berpendapatan rendah didahulukan. Wang subsidi perlu disalur tepat kepada sasaran.

"Ketika subsidi dinilai semula, rakyat perlu memiliki maklumat yang tepat dan betul. Reaksi spontan tanpa mendapat maklumat yang benar akan terdedah kepada manipulasi politik berkepentingan," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang melibatkan penetapan harga runcit diesel mengikut harga pasaran, yang dilaksanakan serentak dengan bantuan bersasar untuk sektor logistik serta pengagihan Bantuan Tunai Budi Madani bermula Isnin, 10 Jun 2024.

Tambah beliau, pihaknya menyokong rasionalisasi subsidi minyak diesel dimulakan dan keutamaan diberi kepada sektor pengangkutan awam.

Jelasnya, wang subsidi sejumlah RM4 bilion untuk diesel selama ini dapat disalurkan kepada pembangunan awam seperti sekolah, klinik, jalan raya dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

"Namun pemantauan dan penguatkuasaan perlu dilaksanakan dengan berkesan. Pihak yang cuba meraih keuntungan daripada keputusan ini akan mencari jalan untuk mengeksploitasi keadaan dari wang subsidi.

"Lantaran itu langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meningkatkan penguatkuasaan adalah wajar. Sistem yang diguna untuk memastikan tidak ada penyelewengan subsidi diesel harus dipantau dan tindakan diambil dengan tegas," katanya.

Beliau berpendapat, keputusan yang dianggap tidak popular ini perlu dipertahankan.

"Memang ada implikasi politik diperguna untuk menaratifkan keputusan kerajaan sebagai anti rakyat. Akan tetapi kepentingan jangka panjang dalam konteks harga pasaran global semasa perlu diambilkira dan perlu diutamakan.

"Kami yakin pihak kerajaan telah mengambil kira semua aspek ketika keputusan ini dibuat. Mencapai matlamat keadilan sosio- ekonomi rakyat sekaligus memacu pembangunan negara," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!