Galak lebih ramai petani moden di Kedah
ALOR SETAR - Penekanan terhadap automasi dan penggunaan teknologi moden seperti internet of things (IOT) perlu dipertingkatkan dan menjadi amalan peladang, penternak dan nelayan dalam meningkatkan produktiviti.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selain dapat menghasilkan tanaman, ternakan dan perikanan lebih berkualiti, ia juga akan menjamin sekuriti makanan dalam negeri.
Menurutnya, rakyat Kedah perlu dibimbing dan diberikan galakan untuk menceburi industri pertanian sebagai petani moden dan berteknologi, sekali gus menjadikan ia sebagai sumber pendapatan yang kukuh serta menguntungkan.
“Sungguhpun sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Kedah, sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi negeri.
“Sokongan daripada pihak kerajaan dan swasta untuk meneroka peluang memodenisasikan sektor pertanian antara usaha untuk membangunkan sektor ini secara lestari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Promosi Bersasar ‘Technology Preview & Showcase’ (TPS) siri 2.0 zon Utara dan pelancaran Galeri Padi Nuklear di Muzium Padi pada Khamis.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ts Dr Aminuddin Hassim.
Teks ucapan Sanusi dibacakan oleh Exco Pertanian, Perladangan, Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab Ghani.
Sanusi berharap dalam masa beberapa tahun akan datang, Kedah menjadi negeri berdaya maju dalam pembangunan sektor pertanian.
“Ini termasuklah mencapai 100 peratus tahap sara diri (SLL) dalam komoditi pertanian melalui pendekatan dan polisi agromakanan yang bersifat ‘market–driven’.
“Saya juga menyambut baik penghasilan benih mutan NMR152 oleh Agensi Nuklear Malaysia yang dapat membantu memastikan keterjaminan bekalan makanan iaitu beras dan perkembangan sektor ini sekaligus dapat mengawal harga bekalan makanan bagi manfaat rakyat,” katanya.
Menurutnya lagi, negara hendaklah memberi perhatian kepada bekalan makanan tempatan selain mengurangkan kebergantungan kepada import.
“Saya percaya negeri Kedah berkemampuan untuk hasilkan produk pertanian dengan nilai tambah yang tinggi dan dikomersialkan ke pasaran eksport, selain mempergiatkan dan meneroka peluang industri halal,” jelasnya.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, Program TPS dapat menemukan pegawai penyelidik atau pereka cipta Agensi Nuklear Malaysia dengan pihak industri dan pemegang taruh bagi memperkenalkan perkhidmatan dan produk yang dihasilkan melalui pembangunan dan teknologi serta khidmat dan teknologi.
“Sementara Galeri Padi Nuklear yang dilancarkan membolehkan rakyat melihat perkembangan teknologi nuklear dalam penghasilan baka padi yang baik dan mampu menyokong keterjaminan makanan negara,” katanya.
Menurutnya, penganjuran program seumpama dapat mengeratkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri selain memberi peluang kepada penyelidik tempatan negeri berkongsi kepakaran dan ilmu bersama pakar dan penyelidik lain.
“Kedah turut menyokong Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 dilancarkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang pada 20 September 2023 lepas.
“Dasar ini adalah agenda negara bagi mengarus-perdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat serta memulihara sumber asli dan alam sekitar,” ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!