PPZ-MAIWP yakin capai sasaran kutipan RM1.1 bilion tahun ini

Mohammed (tengah) bersama pemenang Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP pada Khamis.
Mohammed (tengah) bersama pemenang Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yakin mampu mencapai sasaran kutipan zakat RM1.1 bilion tahun ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan berkata, setakat Januari hingga Mei lalu, sebanyak RM454 juta zakat telah dikutip menunjukkan peningkatan 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Menurutnya, sasaran RM1.1 bilion itu mampu dicapai melalui kerjasama semua pihak dan mempelbagaikan saluran bayaran termasuk kerjasama bersama 102 ejen-ejen kutipan dilantik.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei ini sahaja, saluran bayaran zakat melalui ejen telah berjaya mengutip sebanyak RM32.9 juta iaitu peningkatan 30 peratus berbanding tempoh sama iaitu RM25.4 tahun lalu.

"Berdasarkan rekod, kutipan melalui saluran ejen menyumbang 8 peratus daripada kutipan zakat keseluruhan RM91 juta pada 2023.

"Menerusi trend peningkatan kutipan ini, Insya-ALLAH sasaran RM1.1 bilion mampu dicapai," katanya ditemui pada Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2023 di Hotel Ideas di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP menyampaikan anugerah kepada 12 ejen terbaik yang menunjukkan prestasi kutipan tertinggi tahun lalu berdasarkan empat kategori iaitu Saluran Offline, Majikan Potong Gaji Ejen, Online (bank) dan Online (e-wallet, portal dan aplikasi).

Kategori Saluran Offline milik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad yang menerima anugerah platinum, manakala Ahlan Academy for Excellence Sdn Bhd memperoleh emas dan Universiti Tun Abdul Razak Sdn Bhd memperoleh perak.

Artikel Berkaitan:

Kategori Saluran Majikan Potong Gaji Ejen pula platinum dianugerahkan kepada Dr Smile Taman Melawati Sdn Bhd, emas Headir & Co dan perak kepada Ahlan Academy for Excellence Sdn Bhd.

Sementara kategori Saluran Online (bank) anugerah platinum kepada Maybank Islamic Berhad sementara emas dan perak milik CIMB Bank Berhad dan Bank Islam Malaysia Berhad.

Terakhir kategori Saluran Online (e-wallet, portal dan aplikasi) anugerah platinum kepada Raiz Malaysia Sdn Bhd diikuti Amanah Saham Nasional Berhad emas dan MYEG dengan perak.

Mohammed berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan pembayaran melalui saluran ejen ini dapat ditingkatkan daripada 8 peratus kepada 10 peratus atau sebanyak RM100 juta pada tahun ini.

Tegasnya, PPZ-MAIWP tidak melantik ejen-ejen ini secara sebarangan sebaliknya setiap ejen mempunyai kekuatan pasaran dan pelanggan mereka sendiri.

"Bagi mengelak berlaku unsur penipuan, PPZ-MAIWP mengambil pendekatan awal membuat langkah kawalan memastikan ejen dilantik bukan ejen persendirian sebaliknya melalui syarikat yang mempunyai lesen operasi sah.

"Ejen dilantik juga dipantau dari segi prestasi tahunan dan perlu mencapai target disasarkan.

"Jika tak capai sasaran, PPZ-MAIWP tidak akan menyambung pembaharuan kontrak yang dibuat dua tahun sekali," katanya.

Tambahnya, setiap ejen dilantik telah melalui tapisan ketat kerana perkhidmatan disalurkan itu membabitkan kepercayaan dan keyakinan pengguna terhadap PPZ-MAIWP.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!