Bacaan Surah al-Jumu'ah bergema di puncak Bukit Bendera
GEORGE TOWN - Bacaan Surah al-Jumu'ah bergema di puncak Bukit Bendera di sini, bersempena Program Arafah #QuranHour yang disertai 211 peserta dari Rumah Ngaji Pulau Pinang.
Program yang julung kali diadakan di luar kawasan masjid itu turut mendapat kerjasama Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Pertubuhan Ikram Malaysia dan Badan pertubuhan bukan kerajaan, Hidayah Centre Foundation (HCF) Pulau Pinang.
Penyelaras Rumah Ngaji Pulau Pinang, Zaiton@Zariyah Abdullah berkata, bacaan surah al-Jumu'ah secara berkelompok yang diadakan di kawasan dataran Bukit Bendera.
Menurutnya, bacaan surah dan tadabur dibimbing oleh Ustaz Sheikh Omar Ali Al Hafiz yang dibawa khas dari Algeria.
"Antara pengisian lain yang dilaksanakan dalam program itu ialah kempen solidariti terhadap nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa keganasan rejim Zionis.
"Melalui kempen yang diadakan, Rumah Ngaji Pulau Pinang berjaya mengumpul sumbangan melebihi RM5,000 dan disalurkan kepada MyCare untuk diagihkan buat mereka yang memerlukan di Palestin," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Khamis.
Zaiton berkata, bagi menunjukkan kasih kepada saudara-saudara kita di Palestin, semua peserta yang terlibat juga melaungkan Palestin Merdeka dan berdoa agar rakyat Palestin dapat segera bebas daripada kekejaman zionis Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!