Muzik gamelan Gangsapura
Segak mengenakan busana tradisional serba hitam pada setiap kali persembahan, Ahmad Syamiem Mohd Sukarno, 28, berkata dia dan tujuh lagi rakannya yang membawa nama Gangsapura berbangga dapat meneruskan warisan serta memperjuangkan instrumen gamelan agar kekal relevan.
Gangsapura yang sering membuat persembahan di festival atau konsert dianjurkan mereka sendiri itu terdiri daripada Teuku Umar Ilany Teuku Iskandar, 35, Nur Diyana Nadirah Shaharuddin, 31, Ahmad Syahmie Ahmad Kamal, 33, Muhammad Asri Muhd Sharizan Saseedarhan, 33, Amira Farhana Ahmad Hamidi, 35, Muhammad Anas Syafuan Norlatiff, 31, serta Mohammad Faliq Che Adeni, 34.
Mengimbau kembali, Ahmad Syamiem yang berpengalaman lebih 16 tahun dalam bermain muzik gamelan berkata pembabitannya dalam dunia gamelan bermula apabila menyertai Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang pada usia 12 tahun atas cadangan ibunya yang mahu dia memanfaatkan masa lapang dengan aktiviti lebih berfaedah.
Namun minatnya kemudian bercambah untuk meneruskan hobi itu sebagai kerjaya sepenuh masa apabila dikuatkan lagi apabila bergabung dengan dengan ahli kumpulannya ketika sedang melanjutkan pelajaran di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pada 2017.
Gangsapura juga turut menanam impian untuk melebarkan sayap ke luar negara sekiranya berpeluang satu hari nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!