HTN 2024: Pelajar sambut baik, yakin potensi TVET
BANTING - Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara (HTN) 2024 yang disambut pada 7 hingga 8 Jun lalu amat signifikan terhadap usaha membangunkan modal insan di negara ini dalam bidang kemahiran teknikal.
Selain memberi pendedahan dan pengetahuan baharu kepada orang ramai khususnya golongan pelajar, HTN 2024 diakui merupakan antara inisiatif terbaik kerajaan untuk menggalakkan lagi penyertaan pelajar untuk mendalami pengetahuan dalam TVET.
Rata-rata pelajar yang ditemui sempena HTN 2024 yang diadakan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat pada Sabtu mengakui bahawa aktiviti yang dianjurkan di reruai serta pempamer dalam sambutan itu amat membantu mereka memahami bidang TVET selain potensi dan hala tuju karier yang boleh dicapai mereka pada masa depan.
Bagi Ann Salwani Hainee Abas, 21, HTN 2024 membantu menyediakan peluang alternatif kepada pelajar mengembangkan minat serta bakat mereka dalam bidang kemahiran teknikal selain daripada akademik.
"HTN 2024 sangat menarik, banyak reruai disediakan dan mereka (pempamer) membantu serta membimbing pengunjung untuk memilih haluan kerjaya yang sesuai mengikut kebolehan masing-masing.
"Apabila program seperti ini diadakan, ia dapat memberi peluang kepada anak muda yang tidak memperoleh keputusan cemerlang dalam akademik untuk mengubah nasib dengan terlibat dalam bidang kemahiran,” kata pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu ketika ditemui kepada Sinar Harian semasa HTN 2024.
HTN 2024 yang diadakan selama dua hari itu menawarkan pelbagai pengisian menarik melibatkan bidang TVET yang merangkumi lima hab aktiviti utama iaitu pameran, seminar, karnival kerjaya, keusahawanan serta cabaran TVET.
Aktiviti yang menjadi tarikan utama adalah pertandingan Junior Skill Malaysia (JSM) melibatkan kategori dron dan mobile robotic.
Dasar TVET Negara 2030
HTN 2024 turut mencatatkan sejarah perkembangan pendidikan kemahiran dan teknikal di Malaysia apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan Dasar TVET Negara 2030 yang menjadi garis panduan komprehensif, menetapkan aspirasi serta hala tuju kerajaan menyelaraskan pelaksanaan TVET secara holistik dalam tempoh tujuh tahun bermula 2024.
Hadir sama menyaksikan detik bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Pengerusi Majlis TVET Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Pandangan yang sama turut dikongsikan pelajar Institut Pertanian Serdang, Siti Norfarzlin Husna Mohd Faris, 19, yang mana dia telah memperoleh banyak idea berkaitan teknologi yang boleh di bawa masuk ke dalam bidang pertanian menerusi proses inovasi.
"Saya belajar bidang pertanian dan di sini, banyak reruai mempamerkan kecanggihan teknologi baharu dan ia telah memberi ilham kepada saya untuk manfaatkannya dalam bidang saya pelajari.
“Bila adanya program TVET serta sambutan HTN 2024 ini, ia membuka lebih banyak peluang meningkatkan daya saing Malaysia setaraf dengan negara maju dalam pelbagai bidang, termasuk pertanian yang menjamin bekalan makanan negara,” jelasnya.
Sementara itu, pelajar ILP Kuala Langat, S Surendra, 22, berkata, pengetahuan lebih terperinci mengenai teknologi automotif robotik berjaya diperolehnya sepanjang berkunjung ke HTN 2024.
Menurutnya, program seperti itu perlu dilaksanakan dan diperkasa dari semasa ke semasa supaya dapat menarik lebih ramai individu untuk menyertai TVET.
"Bagi pelajar yang sudah terlibat dalam TVET, penting bagi mereka untuk bersemangat mendalami ilmu yang dipelajari di samping memanfaatkan fasiliti serta kemudahan yang disediakan di pusat-pusat latihan,” katanya yang mengikuti pengajian dalam bidang rangkaian komputer.
Dalam pada itu, pelajar Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Kulim, Muhammad Saiful Mohamad Safuan, 21, memberitahu, bidang TVET semakin mendapat perhatian dalam kalangan anak muda sebagai antara platform yang menjamin kerjaya yang baik pada masa depan.
"Saya lihat, TVET telah menjadi pilihan orang ramai dan memiliki sijil kemahiran adalah satu kelebihan kepada mereka untuk memperoleh pekerjaan yang baik dengan gaji lumayan.
“Malah, bidang ini turut menjadi pilihan para majikan,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!