Peniaga tanggung kenaikan harga diesel beri kesan kepada rakyat - The Future Research
SHAH ALAM - Peniaga masih perlu menanggung peningkatan harga diesel hampir 36 peratus walaupun kerajaan melaksanakan penyasaran harga subsidi bahan api itu.
The Future Research dalam satu kenyataan berkata, kenaikan sebanyak RM1.20 akan meningkatkan kos pengangkutan dan operasi bagi sektor perkilangan serta perkhidmatan yang akhirnya akan diterjemahkan kepada peningkatan harga barangan kepada pengguna akhir.
Katanya, inflasi yang meningkat boleh mengurangkan kuasa beli rakyat dan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah yang sudah pun terkesan dengan kos sara hidup tinggi.
"Walaupun kerajaan telah mengumumkan penyasaran subsidi melalui Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI MADANI) melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebanyak RM200 sebulan, peniaga masih terkesan dengan peningkatan kos operasi khususnya kos penghantaran.
"Ini kerana peniaga terpaksa menanggung peningkatan harga diesel hampir 36 peratus," ujarnya pada Khamis.
Tambah kenyataan itu, merujuk kajian yang telah dilaksanakan oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA menunjukkan rakyat Malaysia masih terkesan dengan cabaran kos sara hidup pasca-pandemik Covid-19.
Jelasnya, kajian mendapati 90 peratus isi rumah terkesan dengan kenaikan kos sara hidup malah, ada dalam kalangan mereka yang terpaksa bekerja lebih masa dan mengurangkan perbelanjaan isi rumah bagi menampung keperluan asas.
"Pelaksanaan penyasaran harga subsidi diesel akan memberikan tekanan yang lebih tinggi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana," ujarnya.
Dalam masa sama, The Future Research menyarankan agar kerajaan melabur dan menggalakkan sumber tenaga boleh diperbaharui dan teknologi cekap tenaga.
Ujarnya,langkah itu bukan sahaja dapat mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bahan api, malah bakal memberi manfaat kepada ekonomi dan alam sekitar.
"Penggalakkan penggunaan kenderaan elektrik dan tenaga boleh diperbaharui akan memacu masa depan yang lestari untuk generasi akan datang.
"Kerajaan perlu mengintegrasi pembaharuan subsidi bahan api dengan polisi ekonomi yang lebih mampan. Antara aspek yang perlu dipertimbangkan adalah melalui pembaharuan fiskal dan merangka program kebajikan sosial bagi mengurangkan kesan negatif terhadap golongan berpendapatan rendah,'katanya.
Kata kenyataan itu, memperkuat mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan adalah langkah penting untuk mencegah penyeludupan dan memastikan bahawa subsidi yang masih ada benar-benar sampai kepada penerima sasar.
Menurutnya, pengurusan dan pengawasan yang cekap dapat membasmi kebocoran dan penyalahgunaan subsidi dengan ketara.
"Antara langkah tambahan yang boleh memperkukuh mekanisme adalah pemantauan melalui teknologi, kerjasama antara agensi, latihan dan pendidikan, pengawasan berasaskan data dan penalti yang tegas terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan serta menyeludup barang subsidi," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!