JKM pantau kanak-kanak saksi ibu mati dibunuh bapa

Seorang wanita ditemui mati dipercayai selepas ditikam beberapa kali oleh suaminya akibat berlaku pertengkaran.
Seorang wanita ditemui mati dipercayai selepas ditikam beberapa kali oleh suaminya akibat berlaku pertengkaran.
A
A
A

PARIT - Kanak-kanak perempuan yang menyaksikan kes pembunuhan ibunya di sebuah rumah di Kampung Simee, Ipoh pada Rabu telah diletakkan di bawah pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, pemantauan secara menyeluruh dilakukan bagi memastikan fizikal dan emosi kanak-kanak berusia 12 tahun terbabit berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, buat masa ini, kanak-kanak tersebut telah pun dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut bagi mengesan sekiranya wujud unsur penderaan fizikal atau sebagainya.

"Kita melihat isu ini bagaimana seorang kanak-kanak telah menyaksikan pembunuhan di depan mata dengan pelakunya merupakan bapa kandung.

"Jadi perkara paling penting ketika ini adalah soal keselamatan dan kesihatan kanak-kanak tersebut, jadi kita bawa dapatkan rawatan ke hospital dahulu kerana bimbang sekiranya dia ada mengalami kecederaan fizikal atau dalaman.

"Selepas laporan perubatan lengkap diperolehi nanti, barulah kita melihat keperluan fasa seterusnya seperti menjalani sesi kaunseling," katanya ketika ditemui pemberita dalam program 'Open mic with Kak Sal' di Seri Iskandar di sini pada Khamis.

Salbiah berkata, dari segi penempatan, JKM akan mengenal pasti saudara-mara terdekat yang diyakini mampu mengambil alih penjagaan kanak-kanak tersebut sebelum keputusan akhir menempatkannya di rumah perlindungan.

Katanya, berdasarkan maklumat JKM, kanak-kanak berkenaan mempunyai dua lagi adik-beradik yang tinggal berasingan serta datuk dan nenek sebelah ibu yang rapat dengannya.

Artikel Berkaitan:

"Setakat yang saya dimaklumkan, datuk dan neneknya seperti mahu ambil tanggungjawab itu, begitupun kita tidak boleh sewenang-wenangnya melepaskan kanak-kanak tersebut walaupun kepada saudaranya sendiri.

"Jika kita lihat tiada kesanggupan atau mereka sendiri tidak boleh menjaga, maka kita ambil tindakan meletakkannya di pusat JKM. Semua itu akan diputuskan selepas semua proses lain selesai," katanya.

Dalam kejadian sekitar jam 8.30 pagi itu, seorang wanita ditemui mati dipercayai selepas ditikam beberapa kali oleh suaminya akibat berlaku pertengkaran.

Mangsa berusia 48 tahun ditemui terbaring di kawasan garaj rumahnya dengan tiga kesan tikaman di dada dan kecederaan di bahagian kepala.

Suspek berusia 56 tahun itu telah ditahan reman selama tujuh hari bermula Khamis bagi siasatan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!