Debaran menanti hari wukuf, jemaah buat persediaan rapi
MAKKAH - Berbaki masa kurang 48 jam lagi, debaran menanti hari wukuf iaitu hari kemuncak ibadah haji, kian dirasai oleh bukan sahaja 31,600 jemaah haji Malaysia tetapi juga lebih dua juta umat Islam yang menjadi Dhuyufurrahman untuk musim haji 1445H/2024.
Perjalanan yang dijangka bermula seawal enam pagi esok menuju ke Masyair untuk melakukan ibadah wukuf di Arafah, Mabit di Muzdalifah dan Mina serta melontar di ketiga-tiga jamrah bermula 9 Zulhijah (15 Jun) sehingga 12 Zulhijah (18 Jun) bukan sahaja memerlukan persediaan rapi dari segi rohani dan fizikal malah mental.
Ini ditambah pula dengan suhu semasa hari wukuf yang dijangka mencecah antara 45 hingga 50 darjah Celcius akan menambahkan lagi cabaran untuk jemaah haji tahun ini.
Tinjauan di bilik penginapan jemaah mendapati, masing-masing mula mengemas pakaian dan kelengkapan yang perlu dibawa ketika Masyair mengikut saranan Lembaga Tabung Haji (TH) di dalam satu beg sahaja berikutan ruangan terhad dalam khemah semasa di Arafah dan Mina.
Bagi Khairul Amir Jamal, 40, tahun dari Ipoh, Perak, beliau telahpun membuat persiapan berdasarkan panduan TH dan mengurangkan aktiviti luar untuk menjaga kesihatan, menjelang hari wukuf Sabtu ini.
"Sejak dua tiga hari lalu, semakin ramai jemaah Malaysia mengalami batuk, demam serta selesema dan jika kita lihat jemaah dari negara lain juga semakin ramai. Jadi sebagai persediaan kesihatan saya telah mula kurangkan aktiviti luar terutama siang sebab cuaca panas.
"Saya lebih tumpukan aktiviti ibadah di lokasi penginapan dan kalau hendak ke masijd pun, saya pergi sebelah malam sebab cuaca lebih sejuk ditambah lagi sekarang pada waktu siang banyak laluan ke masjid ditutup dan memerlukan kita berjalan jauh. Ini akan jejaskan kesihatan,” katanya.
Bagi Nurul Akmal Nazian, 38, dari Ipoh, Perak beliau tidak menafikan perasaan berdebar menanti hari wukuf ditambah lagi selepas mendengar pengalaman daripada jemaah haji sebelum ini.
"Saya mendengar daripada rakan-rakan yang menyatakan waktu berada di Arafah adalah waktu yang paling mencabar, namun saya telah melakukan persiapan dengan mengkaji daripada pengalaman rakan-rakan, kumpulan jemaah haji di media sosial selain banyak berdoa supaya urusan di Masyair dipermudahkan,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Maktab 79 Al ‘Amin Jaminon berkata, sebagai persediaan jemaah di Arafah pihak TH turut menyediakan batu untuk melontar di jamrah, payung dan pelekat untuk memudahkan jemaah mengenal pasti maktab yang diduduki.
"Kita telah pun mula mengedar kesemua barangan ini ke bilik jemaah secara berperingkat-peringkat. Pada masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan para jemaah dengan berbaki masa kurang 24 jam ini supaya mengurangkan perjalanan ke luar.
"Banyakkan rehat di bilik serta banyakkan minum air kerana suasana di Arafah sangat mencabar,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!