Laluan 'tidal' pagi di Lebuhraya Grand Saga di tambah baik

Pembukaan laluan tidal baru di KM14.9 (selepas Plaza Tol Batu 11), arah Kuala Lumpur bermula 18 Jun 2024.
Pembukaan laluan tidal baru di KM14.9 (selepas Plaza Tol Batu 11), arah Kuala Lumpur bermula 18 Jun 2024.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Laluan ‘tidal’ pagi di Lebuhraya Grand Saga akan ditambah baik dengan pengaktifan laluan masuk baharu di KM14.9 arah Kuala Lumpur, selepas Plaza Tol Batu 11 hingga ke pusat bandar bermula Selasa ini.

Pemegang konsesi lebuh raya itu, Grand Saga Sdn Bhd (Grand Saga) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan laluan yang dikhaskan untuk kenderaan ringan dari Kajang menghala ke Kuala Lumpur itu dijangka dapat melancarkan aliran trafik pada waktu puncak.

"Bagi pengguna yang ingin keluar ke Persimpangan Telekom (EXIT 703), Persimpangan Hulu Langat (EXIT 702) dan Persimpangan PGA (EXIT 701) atau ingin menggunakan Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (E19) perlu kekal di laluan utama tanpa memasuki laluan tidal.

"Sementara itu, pengguna yang datang dari Persimpangan Bandar Tun Hussein Onn (EXIT 704), Persimpangan Telekom (EXIT 703) dan persimpangan Hulu Langat (EXIT 702) boleh mengekses laluan tidal ini melalui pintu masuk di KM12.3 (Pintu 2) arah Kuala Lumpur,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, laluan terbabit beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 6.30 hingga 8.30 pagi.

Pengguna Lebuhraya Grand Saga yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan operasi laluan tidal dan laporan trafik semasa boleh melayari akaun X GrandSagaTrafik dan Facebook Lebuhraya Grand Saga atau menghubungi melalui talian Saga Line 03-9075 0505 untuk maklumat lanjut. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!