Tengkorak binatang dalam tangki air, polis siasat unsur khianat
JELEBU - Tindakan seorang lelaki di Taman Kenaboi, Titi di sini mahu menyelenggara tangki air rumahnya membawa kepada penemuan rangka binatang di dalam tangki tersebut baru-baru ini.
Menerusi video yang tular di laman media sosial, kelihatan rangka seperti tengkorak binatang di dasar tangki selepas air dikeringkan.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden, Maslan Udin berkata, seorang lelaki berusia 77 Tahun telah membuat laporan berkenaan penemuan rangka binatang berkenaan pada Jumaat lepas.
"Dia mengatakan satu rangka binatang dijumpai dalam tangki air rumah teresnya dan ia ditemui oleh pekerja yang sedang membaik pulih bumbung rumah jirannya.
"Pemilik rumah itu telah meminta pekerja terbabit untuk menyelenggara tangki rumahnya yang tersumbat dan apabila penutup tangki dibuka, terdapat rangka binatang yang tidak dapat dikenal pasti," katanya.
Menurutnya, siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat.
Tambahnya, rangka binatang tersebut akan dihantar ke Pejabat Veterinar untuk dikenal pasti.
"Siasatan masih lagi dijalankan dan jika mana-mana pihak yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Sarjan Mohd Aizuddin Wahap di talian (014-9636002) atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu (06-6138222).
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!