Pendakwa raya bangkit percanggahan kenyataan Najib
KUALA LUMPUR - Pihak pendakwa raya hari ini membangkitkan percanggahan kenyataan antara bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah sebelum ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram turut menyatakan politik di negara ini juga dibayangi amalan feudalisme.
Najib: Tidak, tidak, saya tak bersetuju kerana ada ketikanya, mereka Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) tidak sependapat dengan saya.
Sithambaram: Agak feudal (sebab) mereka (sentiasa) mendengar apa yang dikatakan oleh bos.
Najib: Ya, tetapi mereka boleh memberikan pandangan. Apabila saya memberikan arahan mereka boleh tidak bersetuju dengan saya.
Sithambaram: Kita semua tahu (apa yang berlaku ke atas) sesiapa yang tidak bersetuju dengan kamu.
Keterangan itu diberikan Najib semasa Sithambaram menyoal balas tertuduh berhubung pengeluaran pinjaman sebanyak RM2 bilion oleh KWAP untuk syarikat SRC.
Berdasarkan keterangan sebelum ini, dana tersebut dikeluarkan KWAP kepada SRC sebelum permohonan untuk mendapatkan jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua berkenaan diluluskan Kabinet.
Najib memberitahu mahkamah, beliau tidak pernah memberikan arahan secara langsung kepada KWAP untuk mengeluarkan pinjaman kali kedua bernilai RM2 bilion untuk SRC.
Sebelum itu Sithambaram bertanya sama ada bekas perdana menteri itu ada memberikan tekanan secara tersirat ke atas Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu, Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, untuk membenarkan KWAP memberikan pinjaman kedua.
Najib: Apabila saya merujuk kepada KWAP, mereka mesti melalui proses sepatutnya.
Sithambaram: Tapi ini adalah apabila perdana menteri (Najib sendiri) menghubungi pengerusi lembaga mengenai keperluan membuat pinjaman?
Najib: Saya tak pernah memberi arahan secara langsung. Terserah kepada mereka (KWAP) untuk menelitinya.
Sithambaram: Beliau (Wan Abdul Aziz) terikat untuk cenderung mempertimbangkannya (permohonan tersebut).
Najib: Tidak. Pada waktu itu mereka perlu membuat keputusan berdasarkan merit kes. Jadi saya tak setuju dengan cadangan pendakwaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!