Kekalkan keharmonian, kesejahteraan negara

Video tular seorang wanita berketurunan India menyuapkan makanan kepada seorang pesakit lelaki Melayu di sebuah hospital menyentuh hati rakyat negara ini.
Video tular seorang wanita berketurunan India menyuapkan makanan kepada seorang pesakit lelaki Melayu di sebuah hospital menyentuh hati rakyat negara ini.
A
A
A

VIDEO yang tular mengenai seorang wanita berketurunan India menyuapkan makanan kepada seorang pesakit lelaki Melayu di sebuah hospital baru-baru ini ternyata menyentuh hati jutaan rakyat di negara ini.

Video yang dirakamkan oleh ahli keluarga seorang pesakit di wad yang sama itu sebenarnya merujuk kepada pesakit lelaki berkenaan yang tidak dapat menyuap makanan sendiri berikutan masalah kesihatan yang dihadapinya.

Malah difahamkan, pesakit lelaki itu juga menolak tawaran daripada jururawat bertugas pada ketika itu untuk disuapkan makanan.

Melihatkan perkara tersebut, wanita berketurunan India itu cuba menawarkan bantuannya untuk menyuapkan makanan kepada lelaki berkenaan.

Biarpun pada mulanya, lelaki berkenaan enggan, namun lama kelamaan dia bersetuju untuk disuapkan makanan oleh wanita tersebut, mungkin kerana memikirkan faktor kesihatan dirinya sendiri.

Adakalanya, lelaki berkenaan dilihat menangis mungkin kerana terharu dan tidak menyangka dengan layanan yang diterimanya itu.

Apatah lagi, layanan itu datangnya daripada individu asing yang bukanlah dalam kalangan saudara-maranya, malah mereka juga pastinya belum pernah bertemu antara satu sama lain sebelum ini.

Perkara tersebut jelas mendapat pelbagai respons daripada warga maya yang rata-ratanya menzahirkan rasa kagum dan gembira melihat senario berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Malah, ada yang menyifatkan senario sedemikian secara tidak langsung turut membuktikan betapa rakyat berbilang kaum di negara ini masih hidup dalam suasana harmoni dan saling berkasih sayang antara satu sama lain.

Antara sedar dan tidak, perkara itu membawa mesej yang cukup mendalam dan menjadi pengajaran serta pedoman kepada semua dalam mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan terutamanya apabila menyentuh soal tanggungjawab dan kasih sayang sesama insan.

Menerusi video yang tular itu juga dapat disaksikan pesakit lelaki berkenaan tidak dapat mengawal emosinya hingga menitiskan air mata apabila disuap makanan oleh wanita tersebut.

Perkara berkenaan sebenarnya turut melambangkan bahawa rakyat berbilang kaum di negara ini sememangnya hidup dalam harmoni, saling bertoleransi dan bersatu padu.Tanpa mengira kaum, keturunan, bangsa dan agama, semua rakyat Malaysia sebenarnya sudah pun terdidik dengan semangat keharmonian sejak berada di bangku sekolah lagi.

Insiden wanita India menyuapkan makanan kepada pesakit lelaki Melayu ini adalah sebahagian daripada kisah keharmonian kaum di negara ini.

Jika masih ingat, pada perayaan Thaipusam, 18 Januari 2022 lalu di mana seorang wanita Melayu terpaksa bersalin dalam kenderaan pacuan empat roda berhampiran Kuil Sri Subramaniya Swami, Batu Caves, Selangor.

Keadaan jalan raya yang sesak ketika itu membuatkan wanita berkenaan tidak sempat dihantar ke hospital dan bersalin di situ dengan dibantu oleh beberapa individu yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

Wanita berkenaan kemudiannya selamat melahirkan seorang bayi perempuan dengan bantuan beberapa individu yang sedang meraikan Thaipusam.

Walaupun masih ada beberapa contoh berhubung kerjasama dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, namun dua kisah tadi telah cukup membuktikan mengenai semangat muhibah, harmoni dan setia kawan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, mulai timbul segelintir individu dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini yang tidak dapat mengaplikasikan elemen-elemen keharmonian tersebut dalam kehidupan seharian.

Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk terus mempertahankan keharmonian dan kesejahteraan yang telah kita kecapi selama ini agar ia berterusan dan diwarisi pula oleh anak cucu kita kelak.

* Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!