Pasang pemasa di tandas elak pengguna 'lepak' terlalu lama
BEIJING - Sebuah tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) mengambil langkah berani apabila memasang pemasa dalam tandas untuk mengelakkan orang ramai membuang masa semasa menggunakan kemudahan awam itu.
Setiap tahun pusat pelancongan Grottoes Yungang di bandar Datong di Wilayah Shanxi menerima jutaan pelancong yang mengunjungi 252 gua dan 51,000 patung Buddha.
Bagaimanapun, pemasangan pemasa itu dikritik ramai kerana ia disifatkan menghalang 'kebebasan' pengguna tandas di tapak tersebut.
Sebuah video dikongsi di media sosial dan laman web China menunjukkan pemasa dipasang atas deretan tandas wanita. Setiap tandas menunjukkan tempoh masa pintu ditutup dan sedang digunakan.
Seorang kakitangan di gua itu memberitahu Xiaoxiang Morning Herald, sebuah akhbar tempatan yang dikendalikan oleh kerajaan, bahawa pemasa baharu dipasang untuk menampung peningkatan bilangan pelawat menggunakan tandas itu dengan lebih efisien.
"Mereka tidak berada dalam bilik tandas untuk mengawal tempoh anda.
"Mustahil kami akan menghalau mereka keluar dari tandas semasa mereka sedang membuang air besar dan sebagainya. Had masa lima hingga 10 minit diperuntukkan berada dalam tandas itu,' katanya.
Seorang pelawat memberitahu akhbar itu bahawa mereka mendapati berjaya menepati masa tetapi ia 'sedikit memalukan' dan berasa sedang diperhatikan.
Seorang lagi kakitangan memberitahu Nanchang Evening News bahawa pemasa itu telah beroperasi sejak 1 Mei tahun ini dan ia adalah untuk memastikan 'kesejahteraan semua tetamu sekiranya ada mereka menggunakan tandas untuk tempoh yang lama'. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!