Pameran hartanah Mapex 2024 bermula 21 Jun ini
PETALING JAYA - Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) bersama cawangan Selangor serta Kuala Lumpur buat julung kalinya mengadakan ekspo hartanah di Lembah Klang iaitu Malaysia Property Exposition (Mapex) 2024 yang akan berlangsung pada 21 hingga 23 Jun ini di pusat beli belah terkemuka Mid Valley Megamall.
Pengerusi Jawatankuasa Mapex, Datuk Chan Kin Meng berkata, pameran itu membabitkan lebih 30 peserta termasuk pemaju, institusi kewangan dan pihak berkuasa kerajaan yang menyediakan platform unik untuk pelawat mendapatkan maklumat tepat mengenai pelbagai projek hartanah di Selangor serta sekitar Kuala Lumpur.
"Sebagai pusat sehenti utama yang terbesar, Mapex menyatukan pelbagai pembangunan hartanah inovatif di seluruh negara daripada pembinaan hingga hartanah siap dan menawarkan pakej kewangan menarik untuk bakal pembeli serta pelabur.
"Sektor hartanah menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara dan kesejahteraan masyarakat. Pameran ini mencerminkan inisiatif, komitmen dan usaha berterusan kami untuk terus mempromosikan pemilikan rumah terutama perumahan mampu milik bagi memastikan kualiti hidup lebih baik untuk rakyat," katanya pada sidang media di Wisma Rehda di sini pada Khamis.
Menurutnya, antara pemain hartanah utama yang turut serta pada pameran berkenaan termasuk IJM Land Berhad, KLK Land, LBS Bina Group, Mah Sing Group Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad, CASK Property, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), PRIMA, Platinum Victory, Sime Darby Property Berhad dan SkyWorld Development Berhad.
Ujar beliau, ia turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Perumahan Negara (JPN) dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPP) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Jabatan Wilayah Persekutuan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
"Penglibatan berterusan dengan kementerian seperti KPKT menunjukkan hubungan kerja yang kuat, kolaboratif antara kerajaan dan Rehda dalam mempromosikan amalan hijau serta mampan ke arah mengurangkan kesan alam sekitar. Ia juga bagi memastikan pertumbuhan industri hartanah dan pembinaan yang baik di negara ini.
"Selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah kemampanan dalam sektor hartanah Malaysia, Mapex kali ini secara khusus menampilkan 'Green Section' untuk mempamerkan projek ikonik yang telah dianugerahkan pensijilan hijau oleh GreenRE Sdn Bhd bagi membantu mewujudkan kesedaran orang ramai terhadap pembangunan hartanah hijau dan mesra alam," katanya.
Jelas Kin Meng, dengan sokongan padu kerajaan, pihaknya menawarkan pelbagai pilihan hartanah kediaman dan komersil hijau yang memenuhi keperluan semua kumpulan pendapatan rakyat di Mapex 2024.
Ujarnya, orang ramai dijemput hadir bagi menyelidik dan mengumpul maklumat yang relevan ke arah membuat keputusan tepat dalam membeli rumah ideal.
"Pengunjung Mapex dapat menikmati pelbagai aktiviti percuma untuk keluarga dan cabutan bertuah yang menarik termasuk pemberian belon, permainan papan, barang kemas DIY, lukisan muka, penampilan badut dan ukiran belon, mewarna bagi kanak-kanak serta banyak lagi.
"Selain itu, pembeli rumah di Mapex ini juga berpeluang mendapat Rebat Tunai* berjumlah RM50,000 (*Tertakluk pada terma & syarat), kami menyasarkan 30,000 pengunjung sepanjang tiga hari pameran yang bermula jam 10 pagi hingga 9 malam," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!