GRO tawar aksi ranjang lepas habis 'syif'
KLANG - Bukan sahaja melayan pelanggan di pusat hiburan terletak di Leboh Gopeng, di sini, namun gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing di sini dipercayai mengambil kesempatan menawarkan khidmat seks.
Aktiviti itu terbongkar dalam Ops Gegar yang dilaksanakan di dua pusat hiburan oleh sepasukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor pada Khamis hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.
Ketika serbuan, ada GRO terbabit cuba melarikan melalui pintu belakang premis, namun berjaya dicekup atas tindakan pantas pasukan operasi.
Sinar Harian yang mengikuti operasi itu mendapati segelintir wanita asing itu cuba bertindak kasar terhadap anggota operasi selain beberapa cubaan menyembunyikan diri di tempat gelap dan sempit.
Bukan itu sahaja, tindakan JIM itu juga menjadi 'tumpuan' warga tempatan yang juga pengunjung premis serta yang berada berhampiran untuk merakam kehadiran pihak berkuasa itu,
GRO terbabit dipercayai akan dibayar tip sehingga RM500 berdasarkan kalungan bunga yang dipakai dengan tawaran layanan berhibur.
Difahamkan, selepas tamat waktu bekerja kira-kira jam 1.30 pagi, mereka akan terus mengikut pelanggan pulang berdasarkan bayaran dan permintaan tertentu dipercayai bagi aktiviti tidak bermoral atau seks.
Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, serbuan bermula jam 10 malam menahan 25 wanita disyaki GRO berusia 24 hingga 40 tahun membabitkan 13 Vietnam dan 12 Thailand.
"Siasatan mendapati wanita ini melakukan kesalahan salah guna pas yang disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.
"Seorang daripada wanita ini miliki pas kerja sebagai pembantu rumah dan yang lain hanya miliki pas lawatan sosial, namun disyaki melakukan kerja sebagai GRO," katanya pada Khamis.
Tambahnya, premis terbabit pernah diserbu JIM Selangor pada dua tahun lalu.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!