Majlis Kraf Malaysia diiktiraf UNESCO

Nik Faiz (kanan) dan Arja Lee (kiri) yang menghadiri Perhimpunan Agung UNESCO di Paris.
Nik Faiz (kanan) dan Arja Lee (kiri) yang menghadiri Perhimpunan Agung UNESCO di Paris.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Kraf Malaysia (MCC) diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara di Paris pada Khamis.

MCC yang juga sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menerima pengiktirafan tersebut bersama 57 NGO lain dari seluruh dunia termasuk dua lagi dari Malaysia iaitu Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Pusat Budaya Pusaka (Pusaka).

Presiden MCC, Nik Faiz Nik Amin berkata, pengiktirafan itu secara tidak langsung memberi penghormatan kepada para artisan tempatan yang bernaung di bawah MCC.

Nik Faiz (kanan) dan Arja Lee (kiri) mewakili MCC di Paris.
Nik Faiz (kanan) dan Arja Lee (kiri) mewakili MCC di Paris.

“Diiktiraf UNESCO pasti sangat bermakna buat para artisan dan budayawan yang juga ahli MCC meliputi warisan tidak ketara seperti seni persembahan dan pembuatan kraf tradisional.

“Mereka selama ini sudah berkerja keras dalam memastikan warisan kebudayaan sentiasa hidup dan dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar pada Jumaat.

Sesi pentauliahan itu diadakan secara rasmi bersempena sesi ke-10 Perhimpunan Agung UNESCO selama dua hari di Paris, bermula Khamis.

Delegasi MCC ke Perhimpunan Agung UNESCO tersebut dihadiri oleh Nik Faiz bersama selebriti juga Timbalan Presiden dan Pengarah Eksekutif Media dan Publisiti MCC, Azharuddin Ramli atau lebih dikenali sebagai Arja Lee.

Artikel Berkaitan:

Kata Nik Faiz, UNESCO mengiktiraf MCC atas komitmen dalam memartabatkan seni warisan budaya melalui pendidikan, pengalaman dan peningkatan ekonomi.

Menurut beliau, pengiktirafan kepada MCC juga berdasarkan tujuh elemen warisan budaya tidak ketara Malaysia yang tersenarai bawah UNESCO iaitu persembahan Mak Yong (2008), Dondang Sayang (2018), Silat (2019), Pantun (2020), upacara Ong Chun (2020), Songket (2021) dan Mek Mulung (2023).

“MCC mengetengahkan seni warisan seperti kelingkan dan songket selain memperkasa kedua-dua kraf itu melalui seni persembahan supaya kekal relevan sepanjang zaman.

“Dengan pengiktirafan UNESCO ini juga, kraf diharap dapat terus dimartabat dan diangkat untuk tatapan generasi akan datang,” katanya.

Tambah Nik Faiz, MCC memasuki lima tahun penubuhan menghargai semua pihak serta organisasi yang banyak memberikan sokongan dalam membangunkan aktiviti kraf yang berorientasikan artisan dan komuniti.

“Termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Yayasan Hasanah, MyCreative Ventures (MCV) dan semua yang pernah bersama-sama menjayakan aspirasi MCC,” kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!