Pemain Itali tak boleh sentuh PlayStation
LUCIANO Spalleti memperkenalkan beberapa peraturan ketat kepada pemain Itali sepanjang kejohanan Euro 2024 yang berlangsung di Jerman.
Menurut laporan EuroFoot, jurulatih berusia 65 tahun itu melarang pemain Gli Azzurri bermain konsol PlayStation termasuk selepas waktu tengah malam.
Malah, Spalletti turut melarang pemainnya memakai fon kepala semasa mereka berkumpul untuk ke pusat latihan atau ke lokasi pertandingan.
Laporan itu turut menyebut pemain tidak dibenarkan menggunakan telefon pintar semasa mereka sedang diurut.
Namun, sebahagian besar peminat Itali tidak senada dengan Spalletti kerana berpendapat peraturan ketat tidak membantu skuad kebangsaan meraih gelaran.
Malah, ada yang menyifatkan tindakan Spalletti sebagai 'kejam' kerana ia mampu mencetuskan ketidakharmonian dalam kem kebangsaan yang menjurus kepada penyingkiran awal.
Sebagai rekod, Spalletti yang dilantik pengendali Gli Azzurri susulan peletakan jawatan Roberto Mancini pada Ogos tahun lalu mempunyai tanggungjawab besar untuk mengemudi Itali mempertahankan kejuaraan diraih pada Euro 2020.
Bagaimanapun, Itali yang menghuni rangking kesembilan dunia sekadar diletakkan selaku pilihan keempat pada edisi kali ini.
Itali yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen Euro 2024 menentang Albania awal pagi Ahad (3 pagi waktu Malaysia).
Selepas itu, Itali berdepan Sepanyol pada 21 Jun dan Croatia empat hari kemudian.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!