Perkasa rumah sembelihan

Terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan pengendalian serta penyembelihan ternakan korban.
Terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan pengendalian serta penyembelihan ternakan korban.
A
A
A

Proses penyembelihan merupakan aktiviti yang berkait rapat dengan pengendalian haiwan ternakan untuk mendapatkan makanan berupa daging sama ada untuk tujuan persendirian, komersial atau ritual keagamaan.

Kaedah tersebut merupakan satu proses bagi mematikan haiwan dengan memotong dua urat utama pada leher atau halkum dan merih menggunakan pisau yang tajam.

Pengarah Bahagian Regulatori Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Dr Mohammad Razli Abdul Razak menjelaskan, proses berkenaan tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya bagi memastikan bahagian haiwan sembelihan dijamin bersih, berkualiti dan selamat untuk dimakan.

“Pematuhan terhadap peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) penyembelihan juga penting supaya tidak memberi kesan kepada alam sekeliling.

MOHAMMAD RAZLI
MOHAMMAD RAZLI

“Tatacara mendapatkan daging yang baik, sihat dan berkualiti adalah dengan penyembelihan seperti disyaratkan dalam hukum syarak untuk memastikan daging itu halal, lagi baik.

“Dalam veterinar, penyediaan haiwan yang mahu disembelih pula perlu menjalani beberapa siri pemeriksaan bagi memastikan binatang itu tidak diancam dengan penyakit dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.

Pengesahan

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohammad Razli menjelaskan, DVS akan mengeluarkan sijil kesihatan veterinar (SKV) sebagai pengesahan terhadap tahap kesihatan haiwan ruminan terlibat sebelum disembelih.

Sijil tersebut katanya, perlu disahkan oleh pegawai veterinar sebelum kelulusan untuk sembelihan, sekali gus memastikan daging yang bakal diperoleh bebas dari sebarang perkara memudaratkan.

“Ternakan yang akan disembelih juga perlu disahkan sihat dan bebas dari sebarang kimia melalui pemeriksaan kesihatan fizikal atau rekod kesihatan.

“Sebelum disembelih, ternakan perlu menjalani proses ‘ante-mortem’ dan setelah disembelih, karkasnya perlu melepasi proses pemeriksaan daging sebelum dibenar untuk dijadikan makanan,” katanya.

Rumah penyembelihan

SOP penyembelihan ditetapkan supaya daging ternakan terjamin dari segi kebersihan, berkualiti dan selamat untuk pengguna.
SOP penyembelihan ditetapkan supaya daging ternakan terjamin dari segi kebersihan, berkualiti dan selamat untuk pengguna.



Dalam pada itu Mohammad Razli memaklumkan, setakat ini terdapat sebanyak 27 rumah penyembelihan ruminan dan tiga rumah penyembelihan babi di bawah DVS di seluruh negara.

Selain itu katanya, rumah penyembelihan swasta yang dilesenkan di bawah Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 pula adalah sebanyak 54 buah melibatkan 43 bagi ternakan ruminan dan 11 rumah sembelihan babi.

“Rumah penyembelihan swasta perlu memenuhi syarat-syarat tertentu sebelum boleh mendapatkan lesen, terutamanya kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebab kita mahu elak premis itu didirikan atas tanah ‘haram’.

“Setelah mendapat kelulusan pihak-pihak berkenaan, barulah mereka boleh membuat permohonan kepada DVS melibatkan pemberitahuan mengenai spesis haiwan yang hendak disembelih dan sebagainya,” jelas beliau.

Tambahnya, terdapat empat kategori rumah penyembelihan mengikut jenis-jenis sistem yang digunakan iaitu automatik, separa automatik, separa manual dan manual.

Dari sudut perundangan, Mohammad Razli memberitahu, terdapat dua perundangan yang terpakai ke atas rumah penyembelihan persendirian dan di luar premis iaitu Kaedah-Kaedah Binatang (Kawalan Penyembelihan) 2009 serta Akta Rumah Penyembelihan (Penswastaan) 1993 bagi pelesenan rumah penyembelihan ruminan dan babi.

Justeru beliau menegaskan, rumah penyembelihan yang menjalankan operasi tanpa lesen dan penyembelihan di luar premis tanpa permit sembelih luar boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan.

MOHAMMAD RAZLI
MOHAMMAD RAZLI

Bagi kesalahan berterusan katanya, rumah penyembelihan boleh dikenakan penalti tidak melebihi RM500 bagi tiap-tiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas sabitan

“SOP yang ditekankan bagi penyembelihan dalam negara perlu mematuhi Amalan Perkilangan Baik (GMP) bagi semua rumah penyembelihan jabatan dan swasta.

“Bagi tujuan eksport atau antarabangsa, perlu mencapai tahap persijilan Veterinary Health Mark serta syarat-syarat lain yang dikemukakan oleh negara-negara pengimport,” tegasnya.

Sembelihan korban

Dalam pada itu, menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi, Mohammad Razli memaklumkan pihaknya telah menerima banyak permohonan permit penyembelihan untuk dilakukan di premis seperti masjid, surau, balai raya dan sebagainya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa garis panduan yang perlu dipatuhi berkaitan dengan pengendalian serta penyembelihan ternakan korban.

“Penyembelihan luar bagi tujuan sembelihan korban hanya dibenarkan pada tarikh 10, 11, 12 dan 13 Zulhijah dan perlu mengikut hukum penyembelihan serta syariat ditetapkan dalam agama Islam.

“Garis panduan ini juga bertujuan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap risiko jangkitan penyakit selain menggalakkan penyembelihan di premis berlesen bagi memastikan daging korban bersih dan selamat untuk dimakan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!