Ejen insurans ugut bunuh pelanggan ditahan
BALIK PULAU - Polis menahan seorang ejen insurans bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan bunuh terhadap pelanggannya di Bayan Lepas di sini dalam kejadian pada Ahad lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pada Rabu susulan laporan polis dibuat oleh mangsa yang merupakan seorang penghantar makanan.
"Lelaki berusia 28 tahun itu membuat laporan polis pada Rabu dan memaklumkan dia menghubungi ejen tersebut kerana mahu membatalkan polisi insurans berikutan tidak mampu untuk membayar serta tidak lagi berminat untuk meneruskannya.
"Ejen itu mengugut untuk membunuh mangsa jika dia membatalkan polisi insurans tersebut dan suspek juga memaklumkan akan membayar polisi insurans lelaki itu bagi tempoh tiga bulan supaya cukup tempoh satu tahun melanggan polisi insurans berkenaan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Kamarul Rizal berkata, suspek turut mengugut mangsa sekiranya mendapat tahu lelaki itu ke pejabatnya untuk membatalkan insurans.
Menurutnya, ejen insurans itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!