Mahkamah benarkan permohonan pengarah, penerbit Mentega Terbang

Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, bersama peguam mereka, Zaid, permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
Mohd Khairianwar (kiri) dan Meng Kheng (kanan) hadir di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Jumaat, bersama peguam mereka, Zaid, permohonan untuk merujuk dua persoalan undang-undang ke Mahkamah Tinggi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, membenarkan permohonan pengarah dan penerbit filem Mentega Terbang untuk merujuk dua persoalan undang-undang bagi tuduhan melukakan perasaan penganut agama lain ke Mahkamah Tinggi.

Pengarah, Mohd Khairianwar Jailani, 32, dan penerbit, Tan Meng Kheng, 37, sebelum ini didakwa atas tuduhan itu, memohon Mahkamah Tinggi menentukan sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang melindungi kebebasan bersuara.

Ketika membaca keputusan, Majistret, Noorelynna Hanim Abd Halim berkata, mahkamah memutuskan demikian setelah menimbang dan meneliti permohonan yang difailkan Mohd Khairianwar dan Meng Kheng selaku pemohon.

Katanya, ia menerusi notis usul yang difailkan pada 11 Mac lalu manakala hujahan bertulis serta lisan pada 10 Mei lalu.

“Setelah meneliti kedua-dua permohonan secara keseluruhan, mahkamah memutuskan permohonan pemohon adalah bermerit maka ia dibenarkan.

“Ia membabitkan persoalan yang dikemukakan pemohon iaitu pertama, sama ada Seksyen 298 Kanun Keseksaan melanggar Perkara 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan seterusnya terbatal dan tidak berpelembagaan atau sebaliknya.

“Kedua, sama ada frasa melukakan perasaan agama seseorang, iaitu unsur dalam kesalahan seksyen itu, melanggar hak untuk perbicaraan adil kerana tidak sah/tidak jelas atau sebaliknya,” katanya.

Majistret ini berkata, ia demikian melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta adalah tidak berpelembagaan dan terbatal, dirujuk ke Mahkamah Tinggi, selaras dengan peruntukan bawah Seksyen 30 (1) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau berkata, dua kes yang dihadapi kedua-dua pemohon ini, ditangguhkan sehingga persoalan-persoalan yang dirujuk ke mahkamah tinggi diputuskan, terlebih dahulu.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan kes untuk pihak-pihak memaklumkan perkembangan prosiding, pada 20 September depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!